Harga santan dijangka meningkat Ramadan

Nor Hazrol memilih untuk tidak menjual pati santan sejak kenaikan harga kelapa di pasaran.
Nor Hazrol memilih untuk tidak menjual pati santan sejak kenaikan harga kelapa di pasaran.
A
A
A

SEREMBAN - Peniaga menjangkakan harga santan meningkat menjelang Ramadan berikutan harga buah kelapa di pasaran yang tidak menentu ketika ini.

Tinjauan Sinar Harian di Pasar Besar Seremban mendapati harga bagi satu kilogram (kg) santan ialah RM12, manakala pati santan pula antara RM13 ke RM15.

Difahamkan di tempat lain di daerah ini ada yang menjual pati santan sehingga RM18 sekilogram.

Rata-rata peniaga mengakui terpaksa menaikkan harga santan sejak hujung tahun lalu selepas pembekal menaikkan harga sebiji kelapa sehingga melebihi RM3.

Disebabkan itu ada peniaga yang memilih untuk tidak menjual pati santan kerana merasakan ia tidak balik modal.

Nor Hazrol Nor Azizan, 43, berkata, peningkatan harga tersebut bermula sejak Disember tahun lalu dan dijangka terus meningkat menjelang Ramadan ini.

"Kalau ikut perkhabaran memang macam itulah (harga naik) dan disebabkan itu saya buat keputusan tak jual pati santan sebab ia rugi.

"Kalau dulu pati santan ini peniaga jual antara satu RM12 ke RM15 sekilogram dan kalau ada yang jual RM18 sekarang, bagi saya ia harga standard," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, untuk mendapatkan sekilogram pati santan, memerlukan lima biji kelapa dan harga sebiji kelapa di pasaran pula ialah RM3.50.

Dia turut mengakui ada pembeli yang merungut kenaikan tersebut, namun mereka memahami kerana ia turut berlaku di tempat lain.

Deretan peniaga santan di Pasar Besar Seremban. Gambar kecil: Mishen
Deretan peniaga santan di Pasar Besar Seremban. Gambar kecil: Mishen

U Mishen, 27 pula berkata, dia terpaksa menjual pati santan dengan harga lebih murah iaitu RM13 kerana tidak mahu pelanggannya lari.

"Tapi memang tak untunglah. Kalau dulu saya jual RM10, tapi sejak bulan lalu saja jual RM13 dan itu pun ramai pelanggan yang merungut.

"Kalau santan biasa saya jual RM8 sekilogram dan sekarang rata-ratanya jual RM12. Saya jangka harga ini akan naik lagi," katanya.

Menurutnya, peningkatan tersebut berlaku disebabkan ketika ini musim melawas yang menyebabkan buah kelapa tidak menjadi.

Jelasnya, ia bukanlah kali pertama berlaku dan biasanya akan terjadi 10 tahun sekali.

"Macam saya ambil kelapa bukan saja pembekal dari Malaysia, tapi juga dari Indonesia kerana bekalan tak cukup.

"Bila musim melawas harga agak mahal dan buah pula kecil berbanding biasa," katanya.

Ng Bee Chooi, 69 pula berkata, bekalan buah kelapa kampung agak sukar diperoleh sekarang dan dia terpaksa mengimportnya dari Indonesia.

Bagaimanapun katanya, harga kelapa Indonesia agak mahal, namun dia tidak pilihan lain.

"Jadi berniaga sekarang tak berapa nak untung, tak tahulah sampai bila isu bekalan buah kelapa ini akan selesai," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!