Isteri dipukul suami perlu ada keberanian

Video tular seorang isteri ditampar oleh suaminya di sebuah pusat beli-belah di Kota Warisan baru-baru ini.
Video tular seorang isteri ditampar oleh suaminya di sebuah pusat beli-belah di Kota Warisan baru-baru ini.
A
A
A

BARU-BARU ini tular rakaman video di media sosial memaparkan seorang wanita ditampar suaminya dalam kejadian di Kota Warisan, Sepang, Selangor.

Rakaman video berdurasi 29 saat itu secara tidak langsung telah ‘menyelamatkan’ seorang wanita daripada terus dikasari oleh suami yang sepatutnya bertindak sebagai pelindung dan menjadi tempatnya bergantung harap.

Jika difikirkan dengan akal waras, tidak sepatutnya lelaki berusia 50-an itu bertindak menampar isterinya hanya disebabkan kerana wanita itu lambat keluar dari pusat beli-belah selepas membeli nasi ayam.

Bayangkan, jika seorang suami tergamak mengasari isteri di tempat terbuka tanpa rasa malu atau bersalah, dengan disaksikan oleh orang ramai, mungkin perkara sama juga boleh berlaku di rumah.

Lelaki berkenaan berjaya ditahan oleh pihak berkuasa dan direman tiga hari. Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Sebenarnya kisah keganasan rumah tangga memang sentiasa dilaporkan dan didedahkan.

Ada mangsa yang berani tampil membuat laporan polis atau agensi berkaitan, tak kurang juga ada mangsa mengambil sikap berdiam diri kerana faktor kasihan, tak rela berpisah dengan si pendera atau memikirkan soal anak-anak serta survival masing-masing.

Kebiasaannya kes-kes melibatkan golongan wanita, tapi lelaki juga tidak terkecuali menjadi ‘mangsa’ dalam rumah tangga.

Artikel Berkaitan:

Keganasan rumah tangga perlu ditangani secara serius kerana ia menjejaskan kesejahteraan psikologi dan mengancam keselamatan mangsa.

Hukuman penjara atau denda sahaja tidak mencukupi kerana terdapat kes-kes perbuatan sama diulang walaupun si pelaku pernah menerima hukuman.

Pada pandangan penulis, golongan berkenaan wajar diberikan bimbingan dan kaunseling kerana setiap perlakuan serta tindakan negatif dilakukan itu mungkin didorong oleh keadaan, yang menyebabkan mereka gagal mengawal emosi.

Misalnya, semasa wabak Covid-19 melanda negara, kes-kes keganasan rumah tangga melonjak naik sejurus selepas Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan. kebanyakannya didorong oleh faktor tekanan dan emosi.

Kebanyakan individu yang bertindak ganas kadangkala lebih suka menyembunyikan perasaan dialami seperti tekanan atau mungkin juga bertindak kerana dipengaruhi oleh bayangan masa lampau.

Namun, tak dinafikan terdapat juga faktor lain yang lebih terarah kepada perlakuan tersebut, antaranya kegelisahan berlebihan dan terlampau terhadap sesuatu sehingga hilang pertimbangan serta kewarasan fikiran.

Sikap lelaki yang semula jadi ego, tidak terbuka atau enggan membesarkan perkara yang dianggap remeh juga antara faktor mendorong mereka melampiaskan kemarahan kepada ahli keluarga.

Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 12,324 kes melibatkan keganasan rumah tangga direkodkan di seluruh negara dalam tempoh lima tahun sejak 2019, namun angka tersebut hanya sekadar kes yang dilaporkan kerana mungkin terdapat lebih banyak lagi kes terpencil disembunyikan oleh mangsa.

Justeru, kepada mereka yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga, janganlah berdiam diri. Buatlah laporan polis dan dapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau hubungi talian Nur Kasih 15999.

Malah, mangsa juga boleh memohon Perintah Perlindungan Sementara (IPO) atau Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO) bagi melindungi diri daripada terus ditindas.

Usaha bersepadu perlu diambil bagi meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya wanita terhadap tanggungjawab dalam menangani isu keganasan rumah tangga.

Mangsa perlu berani mendapatkan bantuan. Pada masa sama, perkhidmatan sokongan sosial juga perlu ditingkatkan terutama aspek pencegahan, perlindungan dan pemulihan.

Keganasan rumah tangga bukan perkara normal dan tidak boleh diterima walau apa pun alasannya.

Mangsa penderaan boleh mengalami gangguan mental yang berpanjangan akibat penderaan seperti kemurungan, kecelaruan dan trauma.

Oleh itu, pastikan mereka dibantu dan diberikan sokongan agar dapat menjauhkan diri daripada situasi tersebut.

Semoga mangsa keganasan rumah tangga mendapat keadilan. Janganlah terus menerus membiarkan diri menanggung derita dan kesakitan fizikal serta emosi yang tak sudah.

* Norhaspida Yatim ialah Ketua Biro Sinar Harian Terengganu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!