23 tahun 'road tax' motosikal tamat tempoh, mekanik ditahan

IPOH - [DIKEMAS KINI] Seorang mekanik ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak selepas mendapati motosikal dinaiki tidak pernah diperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) selama 23 tahun.
Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, lelaki tersebut ditahan oleh anggota bertugas dalam satu operasi penguatkuasaan sempena Tahun Baharu Cina yang dijalankan di Jalan Silibin-Ipoh melalui pemeriksaan rutin.
Menurutnya, setelah semakan dibuat mendapati LKM kenderaan itu telah tamat tempoh sejak tahun 2002 dan alasan diberikan kerana motosikal tersebut jarang digunakan di jalan utama, hanya dibawa dalam kawasan perumahan.
"Kesalahan ini adalah serius kerana LKM bukan sahaja bukti kenderaan telah didaftarkan, tetapi juga memastikan pemilik membayar cukai jalan yang diperlukan serta memenuhi syarat keselamatan kenderaan.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap pemilik motosikal kerana melanggar Seksyen 23(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mewajibkan semua kenderaan bermotor di jalan raya memiliki lesen kenderaan yang sah," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mohammad Yusoff berkata, susulan itu pihak JPJ bertindak menyita motosikal terbabit di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saman P22 juga dikeluarkan kepada pemilik motosikal berkenaan.
Sementara itu beliau meminta semua pemilik kenderaan mengikut peraturan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan sebarang tindakan undang-undang serta memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya dipatuhi.
Tambah beliau, kenderaan yang tidak mempunyai LKM yang sah berisiko untuk tidak dilindungi insurans sekiranya berlaku kemalangan, sekaligus menyebabkan komplikasi kepada mangsa dan pemilik kenderaan.
"Kesalahan tidak memperbaharui LKM boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
“Operasi seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa untuk memastikan pengguna jalan raya sentiasa mematuhi undang-undang,” katanya.
Sementara itu, Mohammad Yusoff berkata, dalam operasi berkenaan sebanyak 1,450 kenderaan diperiksa dengan 950 daripadanya merupakan motosikal diikuti kereta berjumlah 491 buah dan selebihnya lain-lain kenderaan.
Katanya, sebanyak 605 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan 17 buah kenderaan melibatkan 15 motosikal serta dua kereta turut disita dalam operasi terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!