Khazanah catat keuntungan operasi RM5.1 bilion pada 2024

KHAZANAH Nasional Bhd mencatatkan keuntungan daripada operasi pada 2024 sebanyak RM5.1 bilion dan mengekalkan nisbah nilai aset boleh tunai (RAV) yang kukuh ke atas hutang sebanyak 3.2 kali.
Pengarah Urusan, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, prestasi yang kukuh ini didorong oleh strategi penjanaan wang yang berdisiplin, pendapatan dividen yang kukuh dan peningkatan nilai saksama daripada ekuiti awam global.
"2024 merupakan tahun yang baik untuk kami. Pelaburan nilai aset bersih (NAV) meningkat dengan ketara sebanyak RM18.8 bilion kepada RM103.6 bilion berbanding RM84.8 bilion pada 2023.
"Dari perspektif keseluruhan portfolio Khazanah, diukur berdasarkan RAV, meningkat sebanyak RM16.3 bilion kepada RM151.3 bilion pada 2024 berbanding RM135 bilion pada tahun 2023,” katanya semasa taklimat media tahunan Khazanah 2025 hari ini.
Khazanah juga mengumumkan dividen berjumlah RM1 bilion pada 2024 kepada kerajaan, menyumbang kepada jumlah terkumpul RM19.1 bilion dalam dividen yang dibayar sejak 2004.
Sementara itu, Amirul Feisal berkata, ekonomi Malaysia menunjukkan daya tahan yang kukuh pada 2024, dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka meningkat antara 4.8 peratus hingga 5.3 peratus.
Pada masa yang sama, ringgit mengukuh sebanyak 2.7 peratus berbanding dolar AS, dan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencatatkan kenaikan sebanyak 12.58 peratus.
Beliau berkata, persekitaran ekonomi Malaysia yang kukuh, didorong pendekatan pelaburan berdisiplin Khazanah menyumbang kepada prestasi yang kukuh untuk tahun ini, dengan kadar pulangan berwajaran masa NAV mencapai 24.6 peratus, satu peningkatan yang ketara berbanding 5.7 peratus pada tahun 2023.
Dari perspektif keseluruhan portfolio Khazanah, pertumbuhan NAV keseluruhan meningkat daripada RM33 bilion pada 2004 kepada RM104 bilion pada 2024, mencapai kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 5.9 peratus.
Pertumbuhan ini selaras dengan mandat Khazanah untuk menjana pulangan mampan bagi negara sambil meningkatkan kekayaan jangka panjang Malaysia, katanya.
Amirul Feisal berkata, meskipun keputusan ini mencerminkan prestasi keseluruhan yang kukuh, prestasi yang relatif lebih lemah diperhatikan dalam pasaran swasta disebabkan oleh kesan ketinggalan daripada kadar faedah yang lebih tinggi, pengeluaran pembiayaan yang mencabar dan persekitaran keluar yang sukar.
Maju ke hadapan, Khazanah akan terus melaksanakan usaha penciptaan nilai dan strategi penyusunan semula portfolio untuk mengukuhkan penyata kewangan dan membina kedudukan kewangan yang kukuh. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!