Tunai hasrat arwah ibu, jumpa jiran selepas 34 tahun

Wan Haninah (kanan) dan Khairul Ashraff (kiri) akhirnya bertemu Sabtu lalu di Kampung Sireh.
Wan Haninah (kanan) dan Khairul Ashraff (kiri) akhirnya bertemu Sabtu lalu di Kampung Sireh.
A
A
A

KOTA BHARU - "Alhamdulillah saya dapat menunaikan hasrat arwah ibu yang mahu bertemu jiran kami sejak berpisah 34 tahun lalu," kata guru Bahasa Inggeris, Wan Haninah Wan Ibrahim, 42, selepas berjaya bertemu bekas jirannya ketika keluarganya menetap di Taman Wangi, Gua Musang pada tahun 1988.

Katanya, walaupun ibunya, Allahyarham Norizan Abdullah, 62, tidak sempat menemui jiran yang dipanggil Cik Yam itu, namun dia reda dan menganggap pertemuan berkenaan sebagai satu amal jariah untuk ibunya.

Menurut Wan Haninah, ibunya yang pernah berkhidmat di Pusat Khidmat Kontaktor meninggal dunia kira-kira empat tahun lalu pada usia 62 tahun akibat kanser pankreas.

Bagaimanapun kata Wan Haninah sebelum 'pemergiannya' ibunya selalu menyebut nama jiran yang dikenali mereka sebagai cik Yam dan suaminya, pak cik Din manakala anak sulungnya, Abe Long.

"Ibu sangat terhutang budi dengan mereka yang selalu menjenguk dan bertanya khabar kami serta memahami kesukaran tanpa ayah yang terpaksa pulang dua minggu sekali demi tanggungjawab sebagai pensyarah di Universiti Malaya Kampus Nilam Puri," katanya.

Jelasnya lagi, mereka terpaksa berpisah selepas dua tahun berjiran kerana ibunya ditukarkan bertugas ke sebuah jabatan di Tanah Merah.

Berkongsi pertemuan berkenaan, ibu dua anak berusia enam dan 10 tahun itu memberitahu, dia mula mencari dan cuba menjejaki Cik Yam sekeluarga selepas ibunya kerap bertanya ketika diserang angin ahmar.

Wan Haninah yang mengajar di sebuah sekolah di Gombak, Kuala Lumpur mengakui agak sukar menjejaki keluarga itu kerana maklumat yang diberikan ibunya tidak lengkap susulan masalah ingatan akibat penyakit berkenaan.

"Pencarian lebih sukar apabila kesemua gambar masa kecil kami musnah ketika banjir besar pada 2014.

Artikel Berkaitan:

"Ketika sedang menahan sakit, ibu selalu menyebut kebaikan keluarga itu yang tidak pernah lekang membantu dan berkongsi keperluan harian bersama kami," katanya.

Jelasnya lagi, selepas memikirkan pelbagai cara untuk bertemu semula keluarga berkenaan, dia akhirnya mengambil keputusan berkongsi di sebuah grup komuniti di Facebook.

"Alhamdulillah, pencarian lebih lima tahun terungkai tidak sampai 24 jam apabila netizen mula membalas perkongsian itu dan saya dihubungi oleh seorang anak Cik Yam," katanya.

Menjadi detik istimewa apabila dua keluarga itu bertemu Sabtu lalu di kediaman bapa Wan Haninah, Wan Ibrahim Wan Mamat, 74, di Kampung Sireh di sini.

Anak sulung enam beradik itu turut mengucapkan terima kasih kepada penduduk di Ketereh yang banyak memberi kerjasama dan komen di grup berkenaan.

"Saya tidak menyangka kami boleh bertemu dalam tempoh singkat selepas lama mencari keluarga ini," katanya.

Sementara itu, Khairul Ashraff Zanudin, 43, tidak menyangka Wan Haninah masih mengingati dan mencari keluarganya.

"Saya mendapat tahun pencarian itu selepas ada penduduk kampung yang memaklumkan kepada adik sebelum kami menghubungi mereka.

Katanya lagi, bapanya pernah bercerita bahawa mereka merupakan jiran pertama yang membantu mengangkat barang ketika keluarga itu tiba di kuarters berkenaan.

"Selepas itu hubungan kami menjadi rapat dan saling membantu sehingga berpindah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!