Rancang harta untuk kebajikan waris istimewa

Terdapat beberapa alternatif syarak bagi pastikan golongan itu dilindungi, dapat hak sepatutnya

KELUARGA yang mempunyai waris berkeperluan khas harus mengambil langkah proaktif untuk merancang harta bukan sahaja untuk memastikan hak mereka terpelihara, tetapi juga untuk melindungi kebajikan dan kelangsungan hidup waris istimewa pada masa depan. -Foto: CANVA / Gambar kecil: DR MUSHADDAD
KELUARGA yang mempunyai waris berkeperluan khas harus mengambil langkah proaktif untuk merancang harta bukan sahaja untuk memastikan hak mereka terpelihara, tetapi juga untuk melindungi kebajikan dan kelangsungan hidup waris istimewa pada masa depan. -Foto: CANVA / Gambar kecil: DR MUSHADDAD
A
A
A

PEMBAHAGIAN harta pusaka dalam Islam telah ditetapkan secara terperinci melalui hukum faraid yang mengatur hak-hak setiap ahli waris.

Namun, dalam keluarga yang mempunyai waris dengan keperluan khas seperti orang kurang upaya (OKU) fizikal atau mental, persoalan sering timbul adalah tentang bagaimana hak mereka dapat dilindungi dan diimbangi dengan keperluan hidup yang berbeza daripada ahli waris lain?

Apakah mekanisme yang ada dalam Islam untuk memastikan mereka mendapat hak yang sepatutnya tanpa menjejaskan prinsip faraid?

Menurut laporan Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, seramai 736,607 OKU berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang direkodkan Statistik Orang Kurang Upaya Malaysia 2023.

Bagaimanapun, masih banyak kes yang mana waris OKU tidak mendapat hak pembahagian harta yang adil disebabkan kekeliruan dalam memahami faraid.

Dalam prinsip faraid, setiap waris diberikan bahagian mengikut kedudukan mereka dalam keluarga. Misalnya, anak lelaki mendapat dua kali ganda bahagian anak perempuan, manakala isteri, ibu bapa dan saudara-saudara turut mendapat bahagian tertentu berdasarkan hubungan mereka dengan si mati.

MASIH banyak kes yang mana waris OKU tidak mendapat hak pembahagian harta yang adil disebabkan kekeliruan dalam memahami faraid. -Foto: CANVA
MASIH banyak kes yang mana waris OKU tidak mendapat hak pembahagian harta yang adil disebabkan kekeliruan dalam memahami faraid. -Foto: CANVA

Artikel Berkaitan:

Faraid ialah satu sistem komprehensif dan memenuhi keadilan sosial berdasarkan prinsip-prinsip ditetapkan oleh syarak.

Pada masa sama, keperluan khas individu tertentu seperti ahli keluarga yang mungkin memerlukan penjagaan dan sokongan tambahan disebabkan kecacatan atau masalah kesihatan mental juga amat dititikberatkan oleh Islam.

Contohnya, seorang anak yang mengalami kecacatan mungkin tidak dapat bekerja sepanjang hidupnya dan bergantung sepenuhnya kepada harta yang ditinggalkan.

Justeru terdapat pelbagai alternatif syarak yang boleh dilaksanakan bagi memastikan kebajikan insan-insan istimewa dapat dijaga dan dilindungi.

Alternatif penyelesaian dalam Islam

Beberapa alternatif lain dalam Islam yang boleh digunakan untuk memastikan kebajikan waris istimewa dijaga adalah seperti berikut:

1. Hibah

Hibah merupakan pemberian harta secara sukarela kepada sesiapa sahaja semasa pemberi masih hidup. Dalam konteks waris berkeperluan khas, hibah boleh digunakan sebagai mekanisme untuk memberikan harta kepada mereka tanpa perlu menunggu proses faraid selepas kematian pewaris.

ISLAM menyediakan kerangka komprehensif untuk pembahagian harta pusaka melalui faraid dan pada masa sama membenarkan penggunaan instrumen lain seperti hibah, amanah dan wakaf untuk memenuhi keperluan khas waris yang memerlukan perhatian tambahan. -Foto: CANVA
ISLAM menyediakan kerangka komprehensif untuk pembahagian harta pusaka melalui faraid dan pada masa sama membenarkan penggunaan instrumen lain seperti hibah, amanah dan wakaf untuk memenuhi keperluan khas waris yang memerlukan perhatian tambahan. -Foto: CANVA

Sebagai contoh, seorang bapa boleh memberikan hibah kepada anaknya yang OKU semasa dia masih hidup untuk memastikan cahaya matanya itu mempunyai sumber kewangan yang mencukupi sepanjang hayatnya.

2. Hibah amanah

Hibah amanah adalah pemberian harta oleh pewaris semasa hidupnya kepada penerima hibah atas dasar kasih sayang secara sukarela, tanpa paksaan dan tanpa sebarang balasan melalui proses ijab dan qabul antara pemberi dan penerima hibah.

Dalam konsep itu, harta yang dihibahkan akan dipegang oleh pemegang amanah dan pemindahan harta tersebut kepada penerima hibah hanya berlaku selepas kematian pewaris.

Pemegang amanah bertanggungjawab memastikan harta tersebut diserahkan kepada penerima hibah mengikut syarat-syarat ditetapkan.

Dengan pemegang amanah yang menguruskan harta itu, pewaris dapat memastikan bahawa keperluan harian, penjagaan kesihatan dan kebajikan waris istimewa dijaga dengan baik, tanpa menyalahi prinsip faraid.

Sekiranya penerima hibah meninggal dunia sebelum pewaris, harta hibah amanah itu akan dianggap sebagai harta pusaka penerima hibah.

Harta itu akan diagihkan kepada waris penerima hibah dengan proses tuntutan yang disertai dokumen-dokumen yang diperlukan mengikut peraturan ditetapkan pihak berwajib.

3. Wakaf

Ibu bapa atau keluarga boleh mewakafkan sebahagian daripada harta mereka melalui konsep wakaf zurri iaitu manfaat wakaf yang dikhaskan untuk ahli keluarga.

BUATLAH perancangan harta dengan bijak untuk keluarga masing-masing bagi menjamin masa depan yang lebih baik dan selamat terutama waris istimewa. -Foto: CANVA
BUATLAH perancangan harta dengan bijak untuk keluarga masing-masing bagi menjamin masa depan yang lebih baik dan selamat terutama waris istimewa. -Foto: CANVA

Hasil daripada wakaf itu akan digunakan khusus untuk memenuhi keperluan waris istimewa yang memerlukan penjagaan tertentu.

Konsep wakaf zurri bukan sahaja memastikan kebajikan waris istimewa terjamin, tetapi juga membolehkan harta tersebut memberi manfaat secara berterusan.

Selain itu, wakaf tersebut boleh meluaskan manfaatnya kepada masyarakat apabila ia tidak lagi diperlukan oleh waris berkenaan.

4. Wasiat (untuk bukan ahli waris)

Wasiat adalah instrumen lain yang dibenarkan dalam Islam, tetapi ia tidak boleh diberikan kepada ahli waris, melainkan dengan persetujuan semua ahli waris lain selepas kematian pewasiat.

Ia boleh digunakan untuk memperuntukkan sehingga satu pertiga daripada harta si mati kepada individu bukan ahli waris yang memerlukan seperti penjaga OKU atau badan kebajikan yang menyediakan bantuan kepada ahli keluarga yang kurang upaya.

Penting rancang awal

Tanpa perancangan harta yang teliti, waris istimewa tidak mendapat perlindungan yang mencukupi selepas kematian pewaris.

Selain isu teknikal dalam pembahagian harta pusaka melalui faraid, terdapat juga cabaran dalam kesedaran masyarakat untuk merancang harta lebih awal.

TANPA perancangan harta yang teliti, waris istimewa tidak mendapat perlindungan yang mencukupi selepas kematian pewaris. -Foto: CANVA
TANPA perancangan harta yang teliti, waris istimewa tidak mendapat perlindungan yang mencukupi selepas kematian pewaris. -Foto: CANVA

Islam menyediakan kerangka komprehensif untuk pembahagian harta pusaka melalui faraid dan pada masa sama membenarkan penggunaan instrumen lain seperti hibah, amanah dan wakaf untuk memenuhi keperluan khas waris yang memerlukan perhatian tambahan.

Dalam konteks waris istimewa, penggunaan hibah amanah dapat memastikan mereka mendapat perlindungan kewangan jangka panjang bagi memastikan penjagaan dan keperluan mereka dipenuhi.

Keluarga yang mempunyai waris berkeperluan khas harus mengambil langkah proaktif untuk merancang harta bukan sahaja untuk memastikan hak mereka terpelihara, tetapi juga untuk melindungi kebajikan dan kelangsungan hidup waris istimewa pada masa depan.

Melalui perancangan bijak, keluarga dapat menjamin masa depan yang lebih baik dan selamat bagi waris istimewa mereka.

*Artikel ditulis oleh Prof Madya Dr Mushaddad Hasbullah, Dekan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia & Ahli Jawatankuasa Majlis Baitulmal, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!