Masjid, surau di Pahang digalak tarawih 20 rakaat tahun ini

KUANTAN - Semua masjid dan surau di negeri Pahang digalakkan melaksanakan solat sunat tarawih 20 rakaat pada Ramadan tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Datuk Ahmad Hairi Hussain bagaimanapun berkata, ianya terpulang kepada pengurusan masjid dan surau kerana tiada kewajiban ditetapkan dalam perkara itu.
Menurutnya, tiada masalah sekiranya keputusan pihak masjid dan surau mahu melaksanakan solat terawih lapan rakaat, mengadakan tazkirah atau sebagainya.
"Terpulang dan elak timbul perbalahan dalam perkara itu kerana kita tidak tetapkan tetapi menggalakkan semua masjid dan surau di Pahang ini melaksanakan 20 rakaat sunat tarawih ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Karnial Israk Mikraj dan Hari Bersama Pelanggan MUIP Siri 1 2025 di Auditorium Tuanku Canselor Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) di sini pada Rabu.
Turut hadir, Mufti Negeri Pahang, Profesor Dr Asmadi Mohamed Naim, Naib Canselor UniPSAS, Profesor Datuk Dr Mohd Zawavi Zainal Abidin dan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Datuk Zaliza Zulkipli.
Ahmad Hairi berkata, Muip terus menyantuni golongan asnaf menerusi bantuan Ramadan dan Aidilfitri tahun ini.
"Semua penerima bantuan bulanan Muip seramai 10,000 orang akan mendapat bantuan zakat sempena Ramadan nanti.
"Pada masa sama, bantan kepada masjid dan surau sempena Ramadan juga akan diteruskan seperti biasa dengan jumlah bantuan RM5,000 hingga RM50,000," katanya.
Sementara itu katanya, bilangan imam solat sunat tarawih dari luar negara mungkin akan dikurangkan tahun ini sebaliknya menggunakan lebih ramai imam dalam kalangan tahfiz tempatan.
"Dulu-dulu kita memang banyak panggil imam daripada Mesir, Thailand dan sebagainya tapi kali ini sebahagian besar masjid akan menggunakan orang kita saja," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!