Krisis air dijangka selesai lagi dua minggu

Sidang media selepas Mesyuarat Khas Isu Gangguan Bekalan Air Dun Bukit Selambau hari ini.
Sidang media selepas Mesyuarat Khas Isu Gangguan Bekalan Air Dun Bukit Selambau hari ini.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Syarikat Air Darul Aman (SADA) menjangkakan krisis air membabitkan 11,000 akaun bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau mampu diselesaikan dalam tempoh dua minggu secara berperingkat.

Pengurus Kanan Wilayah Tengah SADA, Hizaruddin Razak berkata, pihaknya mengharapkan bekalan sampai kepada pengguna dalam tempoh lebih awal memandangkan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Selambau telah disambung semula dengan kapasiti 50 peratus pada jam 12.30 tengah hari, hari ini.

Menurutnya, ia berikutan terdapat peningkatan paras sungai yang positif direkodkan iaitu setinggi 1.43 meter pada jam 8 pagi tadi, telah meningkat berbanding 1.16 meter yang direkodkan jam 4 petang semalam.

"Kita jangkakan ia pulih dalam tempoh dua minggu, namun ada sesetengah kawasan mula menerima bekalan lebih awal daripada tempoh dijangkakan.

"Dalam masa sama, penugasan bantuan penghantaran bekalan air ke kawasan terjejas melibatkan 27 unit lori bantuan bekalan terus dilakukan yang dijangka dapat mempercepatkan proses penghantaran berbanding 12 lori sebelum ini,"katanya selepas Mesyuarat Khas Isu Gangguan Bekalan Air di Pusat Khidmat Parlimen Merbok di Bandar Laguna Merbok di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Merbok, Nor Azrina Surip dan Exco Kerajaan Negeri merangkap ADUN Bukit Selambau, R Summugam.

"Tiga unit lori tangki berkapasiti besar digunakan sebagai pembekal air kepada lori air kecil bagi membantu mempercepatkan agihan bantuan bekalan air,"katanya.

Pihak SADA juga telah menerima bantuan lori secara sukarela bagi mengagihkan bekalan air kepada pengguna daripada Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB), Bomba Sukarela, Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah dan orang perseorangan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Nor Azrina berkata, jadual penghantaran air dipantau pemimpin tempatan bagi melancarkan kerja-kerja penghantarannya.

Langkah itu bertujuan mengelakkan masalah pengguna tercicir daripada mendapat bekalan.

Sebarang aduan berkaitan boleh disalurkan ke Pusat Informasi Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd di talian 1-300-88-0017.