Kerja 80 jam seminggu, tiada kehidupan sosial - Bill Gates

LOS ANGELES - Pengasas bersama Microsoft, Bill Gates mendedahkan cabaran kehidupan peribadinya sehingga menjadi usahawan berjaya dalam perniagaan industri komputer.
Gates menggambarkan dirinya sebagai individu dengan ciri-ciri 'spektrum autisme' termasuk keupayaan untuk memberi tumpuan luar biasa terutamanya pada komputer.
Gates memberitahu, ini kerana beliau seorang yang fokus, berorientasi dan bersedia membuat kod pada komputer pertama.
"Jika saya membesar pada zaman ini, kemungkinan besar akan didiagnosis dengan autisme kerana pada masa itu kesedaran mengenai cara otak memproses maklumat dengan cara berbeza masih rendah.
"Dalam masa sama, saya mengalami kesukaran sosial semasa zaman kanak-kanak ditambah kemahiran sosial yang lambat berkembang walaupun mempunyai hubungan rapat dengan keluarga," ujarnya.
Meskipun menghadapi cabaran sosial, Gates memberitahu, beliau mempunyai minat yang sangat tinggi dalam bidang pengkomputeran.
Beliau berkata, pada usia muda masanya dihabiskan untuk menulis kod komputer terutama dalam bahasa pengaturcaraan BASIC untuk komputer peribadi pertama.
"Perjuangannya dalam dunia pengkomputeran membawanya untuk mencipta Microsoft bersama Paul Allen.
"Namun, kejayaan besar ini datang dengan harga yang tinggi. Saya akui perlu memberi fokus sepenuhnya kepada Microsoft, menghabiskan waktu lebih daripada 80 jam seminggu bekerja keras untuk membangunkan syarikat tanpa memberi ruang untuk kehidupan sosial atau hubungan peribadi.
"Dedikasi kepada syarikat dan harapan agar orang lain turut memberi komitmen yang sama, membentuk asas kepada kejayaan Microsoft yang kini menjadi gergasi dalam teknologi dunia," jelasnya.
Gates juga menceritakan tragedi besar dalam hidupnya iaitu kehilangan sahabat baik Kent Evans.
Katanya, Evans mmeninggal dunia dalam satu kemalangan ketika mendaki.
"Kehilangan itu meninggalkan kesan mendalam pada dirinya, yang turut memberi inspirasi dalam penciptaan beberapa produk terawal Microsoft," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

