[VIDEO] Kurung anak: Bapa, teman wanita didenda RM17,000, khidmat masyarakat 440 jam
JOHOR BAHRU - Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa menjatuhi hukuman denda RM17,000 dan menjalani hukuman perintah khidmat masyarakat selama 440 jam kepada pemandu van kilang dan teman wanitanya.
Hakim Thalha Bachok @ Embok Mok membuat keputusan itu terhadap lelaki berusia 39 tahun, dan teman wanitanya berusia 41 tahun, selepas masing-masing mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan yang dibacakan ke atas mereka.
Ia susulan, kedua-dua tertuduh didakwa meninggalkan dan mengurung seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun empat bulan di dalam bilik air tanpa diberikan makanan dan minuman mencukupi sehingga mangsa mengalami malnutrisi dan kurus kering, dua tahun lalu.
Mengikut kertas pertuduhan pindaan itu, bapa mangsa serta teman wanitanya secara bersama-sama didakwa telah meninggalkan mangsa tanpa persediaan pengawasan dan pemeliharaan berpatutan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan sekitar Julai sehingga Oktober 2023 di Taman Pulai Jaya.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-kanak 2021 dan boleh dihukum denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Maisarah Hassan dan kedua-dua tertuduh diwakili peguam, P Rajagunaseelan.
Nor Maisarah meminta mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran kepada kedua-dua tertuduh dan memberi ingatan kepada masyarakat melakukan kesalahan menganiayai kanak-kanak.
Kenyataan impak mangsa yang kini di bawah jagaan ibu kandungnya di Selangor, turut dibacakan di mahkamah.
Jelasnya, ketika kejadian mangsa seorang kanak lelaki berusia tujuh tahun empat bulan.
"Saya sebelum ini tinggal bersama bapa dan teman wanitanya yang dipanggil kakak. Kakak paksa saya minum air tandas dan hanya diberi makan sekeping roti dan sedikit nasi.
"Saya kini takut ke sekolah atau ke mana-mana kerana risau kakak cari saya lagi," katanya dalam kenyataan impak berkenaan.
Jelasnya, kanak-kanak terbabit ditinggalkan dalam bilik air dan dikunci tanpa diberi makanan dan minuman mencukupi sehingga mangsa menjadi kurus.
"Mangsa berada dalam keadaan tidak bermaya ketika diselamatkan sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan mangsa disahkan menghadapi malnutrisi kerana ditinggalkan dan dibiarkan tanpa makanan dan minuman mencukupi.
"Cukup menyayat hati, seorang kanak-kanak kecil ditinggalkan tanpa cukup makanan apatah lagi hubungan tertuduh pertama adalah bapa kandung yang sepatutnya bertanggungjawab ke atas mangsa," hujahnya.
Peguam tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda rendah tertuduh pertama bekerja sebagai pemandu van kilang dengan pendapatan antara RM1,500 sehingga RM1,800.
Selaim itu, tertuduh pertama juga bekerja sambilan sebagai pencuci kereta dengan menerima elaun mengikut jam manakala tertuduh kedua tidak bekerja.
Hakim kemudian menjatuhkan hukuman denda RM8,000 kepada tertuduh pertama manakala tertuduh kedua didenda RM9,000 dan sekiranya gagal bayar denda, kedua-dua tertuduh diperintahkan dipenjara selama enam bulan.
Kedua-dua tertuduh turut diperintahkan melaksanakan kerja khidmat masyarakat masing-masing selama 200 jam dan 240 jam yang mesti dilaksakaan selama enam bulan selepas perintah berkenaan dikeluarkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

