[VIDEO] 'Kami akan maafkan suspek selepas mereka terima hukuman'
ALOR SETAR - “Kami akan maafkan suspek selepas mereka terima hukuman. Biar undang-undang yang menentukan keadilan buat anak saya,” kata Mohd Zaini Hashim, 63, bapa kepada Muhammad Muslim, 23, yang maut dalam kebakaran di Tongkang Yard, di sini pada 21 Januari lalu.
Muhammad Muslim ditemui rentung bersama bapa angkatnya, Ibrahim Mydin, 61 sebelum polis mengklasifikasikannya sebagai kes bunuh.
Menurut Mohd Zaini, mereka sekeluarga tidak dapat menerima perbuatan kejam suspek namun mengambil pendekatan reda ke atas apa yang telah berlaku.
“Kita pun ada rasa marah juga tapi kalau saya pukul dia pun, anak saya sudah tidak ada (meninggal dunia).
“Dalam keadaan apa-apa perbuatan, ikhlas, reda apapun (kita) akan tenang. Macam dapat maklumat daripada polis kami dah dapat tuntut jenazah hari ini rasa syukur. Alhamdulilah, kita dah tahu di mana lokasi kubur arwah,” katanya lagi.

Dia berkata demikian semasa ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk menuntut jenazah Muhammad Muslim sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid As Salam, Jalan Kuala Kedah selepas Zuhur pada Selasa.
Jelas Mohd Zaini, perkembangan kes berkaitan arwah anaknya itu akan diikuti dari semasa ke semasa sehingga hukuman dijatuhi kepada dua suspek berkenaan.

Sementara itu, urusan tuntutan jenazah Ibrahim turut dilakukan oleh ahli keluarga arwah dan bakal dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al Ihsan, Tongkang Yard di sini.
Salah seorang anaknya yang mahu dikenali sebagai Abdullah,33, berkata, kali terakhir dia bertemu dengan arwah bapanya adalah pada malam sebelum kejadian berlaku.
“Malam sebelum kejadian arwah ada hubungi saya pada waktu Maghrib cakap telefonnya hilang dan minta temankannya ke balai polis untuk membuat laporan polis,” katanya.
Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan dua penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Setar atas tuduhan membunuh warga emas dan anak angkatnya dalam satu kejadian di Jalan Kota Tanah berhampiran Tongkang Yard di sini pada bulan lalu.

Tertuduh, Mohd Fitri Saiful Rizuan Musa, 29, dan Muhammad Haizan Abdul Rahim, 19, mengangguk faham ketika pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Nur Syifa Mohd Hamzah.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.
Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan pembunuhan itu secara bersama-sama di sebuah rumah di Lorong Rose, Jalan Kota Tanah.
Kedua-dua tertuduh didakwa telah melakukan pembunuhan yang menyebabkan kematian ke atas Ibrahim Mydin,61, dan Muhammad Muslim Mohd Zaini,23, pada 21 Januari 2025 kira-kira jam 3.30 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

