LA dan Kota Sodom, satu pengajaran

Pemandangan dari udara rumah-rumah yang musnah dalam kebakaran dengan Lautan Pasifik kelihatan di kejauhan Pacific Palisades, California. Foto Agensi
Pemandangan dari udara rumah-rumah yang musnah dalam kebakaran dengan Lautan Pasifik kelihatan di kejauhan Pacific Palisades, California. Foto Agensi
A
A
A

Kebakaran di Los Angeles telah menyebabkan kemusnahan besar dan kehilangan nyawa sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi dan perdebatan.

Ada yang menganggapnya sebagai balasan Tuhan, namun penting untuk kita memahami bahawa bencana alam boleh berlaku disebabkan oleh pelbagai faktor, termasuk perubahan iklim dan kelalaian manusia.

Kisah-kisah dalam sejarah agama mengingatkan kita tentang pentingnya taat kepada perintah ALLAH SWT dan menjauhi perbuatan dosa. Terdapat kisah-kisah yang menunjukkan bagaimana bencana alam digunakan sebagai alat untuk menghukum kaum yang ingkar, seperti kisah kaum Nabi Luth AS.

Kaum Nabi Luth AS terkenal dengan perbuatan dosa yang melampaui batas, termasuk hubungan sesama jenis dan kejahatan moral. Bahkan mereka berbangga pula dengan maksiat yang dilakukan.

Bukan itu sahaja, orang lain yang tidak mahu melakukan maksiat dianggap keji, kolot dan ketinggalan zaman. Nabi Luth AS telah berusaha mengingatkan mereka agar bertaubat, namun mereka tetap ingkar.

Akhirnya, ALLAH SWT mengutus malaikat untuk menghancurkan Kota Sodom dengan hujan batu dan gempa bumi, menjadikan kawasan itu Laut Mati (Dead Sea/Al-Bahr Al Mayyit) yang terletak di sempadan antara Israel dan Jordan.

Ahli arkeologi menyatakan sekitar 1,800 hingga 2,350 sebelum Masihi, terdapat kehidupan di tempat berkenaan dan kehidupan itu mati akibat gempa bumi dan ditimpa dengan batu-batu.

Sepertimana Firman ALLAH SWT: “Maka apabila datang (masa pelaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri Kaum Luth itu diterbaliknya (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar menimpanya bertalu-talu.” (Surah Hud, ayat 82).

Artikel Berkaitan:

Donald Trump setelah dilantik menjadi Presiden Amerika Syarikat buat kali yang kedua pernah menyatakan bahawa bencana alam seperti kebakaran di Los Angeles adalah balasan Tuhan mengikut kepercayaan Kristian.

Trump, mengaku sebagai penganut Kristian yang tidak terbatas kepada aliran tertentu, percaya bahawa Tuhan (mengikut kepercayaan mereka) menggunakan bencana alam untuk menghukum manusia atas dosa-dosa mereka.

Tiga hari lalu Trump juga telah mengarahkan agensi Persekutuan memadamkan sebarang rujukan kepada 'ideologi jantina' dalam kontrak dan deskripsi pekerjaan.

Turut diarahkan padam, laman sesawang dan akaun media sosial yang mempromosikan ideologi jantina.

Tindakan itu selaras dengan perintah eksekutif yang mewajibkan kerajaan mengiktiraf hanya dua jantina iaitu lelaki dan wanita, tidak lebih daripada itu.

Sebelum ini juga pada 22 Januari lalu, Trump telah menuntut seorang Bishop, Mariann Edgar Budde meminta maaf selepas meminta Trump menunjukkan belas kasihan ke atas komuniti LGBT dalam satu majlis doa sempena pelantikan Trump sebagai Presiden.

Bukan itu sahaja, Presiden AS ke-47 itu turut menyatakan bahawa Uskup Budde tidak kompeten dalam menjalankan tugas sebagai orang agama dan bersifat radikal.

Di Rusia dasar Presidennya, Vladimir Putin lebih tegas apabila terdapat dua undang-undang berkaitan LGBT iaitu Undang-Undang Anti-Propaganda LGBT (2013 & 2022).

Pada tahun 2013, Rusia meluluskan undang-undang yang melarang ‘propaganda hubungan seksual tidak tradisional kepada kanak-kanak.’ Ini bermaksud sebarang promosi hak LGBT di tempat awam boleh dihukum.

Pada tahun 2022, undang-undang ini diperluaskan untuk melarang ‘propaganda LGBT’ kepada semua peringkat umur, bukan hanya kanak-kanak. Ini termasuk di media, filem, buku dan internet.

Perlembagaan Rusia telah dipinda pada tahun 2020 untuk secara jelas mentakrifkan perkahwinan sebagai hubungan antara lelaki dan wanita sahaja dan mereka melarang pasangan sejenis daripada mengambil anak angkat.

Di Uganda hukumannya lebih keras apabila kerajaan menguatkuasakan hukuman mati untuk ‘homoseksualiti yang lebih teruk’. Undang-undang mereka juga menetapkan hukuman penjara selama 20 tahun bagi mereka yang mempromosikan homoseksual.

Adalah penting untuk diingat bahawa pandangan mengenai LGBT dan jantina adalah berbeza-beza di kalangan individu dan budaya. Pandangan Islam mengenai LGBT berakar pada prinsip-prinsip yang termaktub dalam al-Quran dan Hadis.

Aktiviti luar tabii

Para ulama menyatakan bahawa hubungan sejenis dan aktiviti homoseksual (sodomi) adalah dilarang kerana ia dianggap menyimpang daripada luar tabii manusia yang telah ditetapkan oleh ALLAH.

Kisah kaum Nabi Luth menjadi rujukan utama dalam penolakan aktiviti sejenis, di mana umatnya didakwa melakukan perbuatan yang tidak bermoral. Dalam Islam, perkahwinan dilihat sebagai ikatan suci antara seorang lelaki dan seorang wanita untuk tujuan pembiakan manusia.

Oleh itu, sebarang hubungan atau aktiviti seksual di luar perkahwinan yang sah dianggap melanggar hukum syarak.

Sedarilah bahawa apabila azab ALLAH SWT itu menimpa satu kaum, bukan hanya mereka yang melakukan maksiat atau kezaliman sahaja yang akan terkena azab itu, bahkan ia akan berlaku secara umum. Ini bertepatan dengan firman ALLAH SWT dalam Surah al-Anfal, ayat 25 yang bermaksud:

“Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa ALLAH Maha berat azab seksa-Nya”.

Secara simboliknya untuk memahami maksud bala, kisah berkenaan seorang anak muda dengan sekawan semut hitam adalah analoginya.

Kisahnya bermula, bagaimana seorang anak murid yang menuntut ilmu agama bertanya gurunya, apakah yang dimaksudkan dengan bala? Jawab guru: Jawapannya tidak dapat aku berikan sekarang, ada baiknya engkau keluar mendapatkannya sendiri.

Anak muda itu pun keluar mencari maksud bala dalam tempoh berbulan-bulan namun jawapannya masih tidak dapat memuaskan hatinya.

Suatu hari beliau membuat keputusan untuk kembali kepada gurunya semula, namun disebabkan keletihan yang amat sangat anak muda ini tadi tertidur dengan bersandar di sebatang pokok.

Beliau hanya tersedar apabila berasa sakit seperti sengatan dua, tiga serangga di bahagian badannya. Rupa-rupanya banyak semut hitam mengerumuni tubuhnya, lantas beliau menggosok dan memicit-micit semua semut itu tadi tanpa mengetahui semut manakah yang menggigitnya.

Apabila sampai ke rumah guru itu, anak muda ini tadi menceritakan apa yang berlaku kepadanya apabila dikerumuni semut hitam yang menggigitnya dan dibunuh tidak terkira banyaknya.

Lantas jawab guru, apa yang kamu lakukan itulah maksud simbolik di sebalik bala ALLAH yang kamu cari. Semut yang menggigit kamu tak dapat kamu kenal pasti melainkan dengan kamu memicit kesemuanya sekali. Itulah maksud ayat ALLAH SWT dalam surah al-Anfal ayat 25.

Musibah atau bala yang berlaku tidak mengira darjat seseorang, apabila ALLAH berkehendak, maka berlakulah ia seperti firman ALLAH dalam Surah Yasin ayat 82 yang bermaksud: “Sesungguhnya urusan ALLAH apabila Dia menghendaki sesuatu, Dia hanya berkata, “Jadilah! Maka jadilah sesuatu itu.”

Fikir-fikirkanlah.

* Datuk Mohamad Din Yusoh ialah seorang tokoh agama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!