Wanita maut dalam kebakaran rumah di tingkat 10

KUALA LUMPUR - Seorang wanita warga Indonesia ditemukan maut dalam kebakaran di sebuah rumah di Perumahan Awam Sri Terengganu, di sini, pada Khamis.
Mangsa berusia 50-an itu ditemui meninggal dunia di dalam bilik air di kediaman berkenaan.
Komander Operasi Kanan Penguasa Bomba E Yogeswaran berkata, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur telah menerima panggilan kecemasan.berkaitan insiden itu pada jam 12.38 tengah malam.
"Seramai 20 anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul dengan bantuan BBP Titiwangsa serta BBP Hang Tuah bergegas ke lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Yogeswaran berkata, setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah di tingkat 10 bangunan berkenaan.
"Api telah berjaya dikawal pada jam 1.30 pagi, anggaran kemusnahan adalah 90 peratus," katanya.
Menurutnya, seorang wanita dijumpai di dalam bilik air dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.
"Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Punca kebakaran masih dalam siasatan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
