Isu sandwic 'ham': Pemuda Pas perlu hormati titah Agong

SHAH ALAM – Pemuda Pas digesa agar tidak terus mengeluarkan kenyataan mengelirukan mengenai isu pelawak terkenal Harith Iskander yang bergurau tentang sandwic 'ham'.
Desakan itu dibuat susulan dakwaan mereka bahawa pihak polis mengamalkan pendakwaan terpilih dalam kes berkenaan.
Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung menegaskan, kenyataan Pemuda Pas yang membandingkan tindakan terhadap suspek yang mengugut keluarga Harith dengan ketiadaan tindakan ke atas pelawak itu adalah tidak wajar dan boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan rakyat.
“Pemuda Pas perlu menghormati titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bahawa ahli politik serta wakil rakyat perlu bertanggungjawab dalam menjaga perpaduan negara.
“Dalam Titah Diraja semasa Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-15 hari ini, baginda mengingatkan supaya pemimpin politik tidak mencetuskan perpecahan melalui ucapan atau tindakan mereka.
"Namun, Pemuda Pas menerusi Timbalan Ketuanya, Mohd Hafez Sabri, terus mempertikaikan tindakan polis yang menurut mereka bertindak pantas dalam mendakwa suspek ugutan terhadap keluarga Harith, tetapi tidak mengambil tindakan terhadap Harith dan seorang lagi pengguna media sosial," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya berkata, kenyataan Pemuda Pas menunjukkan kekeliruan antara gurauan dan ancaman serius.
"Saya rasa para pemimpin Pemuda Pas seolah-olah salah faham dengan isu sebenar, menyamakan gurauan dengan ancaman terhadap keluarga seseorang, dan seterusnya menyalahkan pihak polis. Ini adalah sesuatu yang tidak masuk akal," katanya.
Chean Chung juga mengingatkan bahawa pemimpin muda seperti Mohd Hafez perlu memainkan peranan sebagai contoh yang baik dan tidak memutarbelitkan fakta untuk kepentingan politik.
"Perbuatan pemimpin muda sangat penting bagi negara, terutamanya dalam membentuk pemikiran generasi akan datang. Jangan hanya kerana politik, fakta diputarbelitkan," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa Harith Iskander hanyalah seorang pelawak yang kerjayanya bergantung kepada jenaka dan sindiran.
Oleh itu, mendakwa beliau sebagai punca ancaman adalah tidak wajar dan boleh menjejaskan kebebasan bersuara di negara ini.
"Wakil rakyat dan pemimpin muda sepatutnya mengutamakan perpaduan negara dan keharmonian masyarakat, bukan menjadikan undang-undang sebagai alat untuk memanipulasi sentimen rakyat," katanya.
Chean Chung menasihatkan agar semua pihak, terutama pemimpin politik, menghormati undang-undang dan tidak menggunakan isu ini untuk meraih keuntungan politik jangka pendek.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!