Siasatan terhadap Harith Iskander, Cecelia perlu laporan forensik - KPN

Razarudin
Razarudin
A
A
A

PETALING JAYA - Siasatan berhubung kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama berkaitan isu 'ham' membabitkan pelawak, Harith Iskander dan pemilik akaun Facebook Cecelia Yap Song KL memerlukan laporan forensik daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan tersebut mengambil masa berikutan polis memerlukan kerjasama daripada pihak lain.

“Kita memerlukan laporan forensik daripada SKMM, sebab itu ia (siasatan) ambil sedikit masa.

“Kita akan lengkapkan siasatan dan akan rujuk kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) Khamis ini,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Razarudin berkata demikian bagi mengulas dakwaan segelintir pihak yang mempersoalkan siasatan terhadap dua individu terbabit mengambil masa lama berbanding kes ugutan jenayah terhadap pelawak terbabit.

Pada 31 Januari, seorang tukang rumah yang menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) untuk membuat ugutan rogol dan bunuh bagi mempermainkan perasaan pelawak, Harith Iskander serta keluarga, dihukum penjara lima bulan termasuk denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada 31 Januari lalu.

Sebelum ini, polis telah merekod keterangan Harith pada 22 Januari lalu manakala Cecelia pada 27 Januari berkaitan isu ham didakwa menyentuh sensitiviti agama.

Terdahulu, Harith, 54, didakwa memuat naik hantaran sekeping gambar menunjukkan segelas kopi dinamakan 'ham' sap kopi berharga RM5.50.

Hantaran berkenaan didakwa membuka ruang mempersendakan agama Islam apabila seorang pengguna media sosial dikenali sebagai Cecelia Yap meninggalkan komen pada hantaran itu yang dipercayai mengaitkan 'ham' dengan nama Nabi Muhammad SAW.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!