Perhilitan nafi tidak ambil tindakan aduan serangan gajah

SUNGAI SIPUT - [DIKEMAS KINI] Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak menyangkal dakwaan bahawa tiada tindakan diambil terhadap aduan serangan sekumpulan gajah di Kampung Orang Asli Talang, Pos Perwor di sini pada malam Sabtu lalu.
Pengarahnya, Yusoff Shariff berkata, semakan yang dibuat mendapati aduan diterima daripada seorang penduduk berusia 58 tahun dan sepasukan kakitangan Pejabat Perhilitan Sungai Siput telah diatur gerak ke lokasi kejadian.
Menurut beliau, dakwaan menyatakan Perhilitan tidak mengambil tindakan terhadap aduan tersebut adalah tidak benar.

"Aduan gangguan gajah memecahkan rumah penduduk dan memusnahkan tanaman nanas telah diterima pada malam Ahad.
"Jarak perjalanan ke kawasan pedalaman berhampiran Hutan Simpan Piah yang mengambil masa lebih sejam selain faktor keselamatan staf perlu diutamakan berikutan keadaan demografi dan waktu gelap ketika itu," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Terdahulu, tular video berdurasi 50 saat memaparkan keadaan rumah milik penduduk Orang Asli musnah akibat serangan sekumpulan gajah dan mendakwa Perhilitan tidak menjawab aduan yang dibuat penduduk.

Yusoff berkata, siasatan mendapati sebuah rumah mengalami kerosakan teruk melibatkan kerosakan perabot dan peti ais yang dianggarkan kerugian sekitar RM20,000.
Tambahnya, operasi tangkapan kumpulan gajah itu akan dijalankan dalam tempoh terdekat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
