Faizal Tahir angkat semangat jati diri dalam album

Faizal Tahir
Faizal Tahir
A
A
A

SENTIASA mencuba memberi kelainan dalam karya-karyanya, penyanyi Faizal Tahir kembali dengan album menampilkan konsep unik berasaskan kenduri kendara dan rewang.

Konsep ini dipilih bukan sekadar sebagai tema pelancaran, tetapi juga sebagai lambang budaya dan nilai perpaduan yang ingin diketengahkan dalam karya terbaharu beliau.

Menurut Faizal, konsep tersebut dipilih kerana ia sangat dekat di hatinya kerana ia melambangkan semangat gotong-royong, perpaduan, dan kebersamaan yang semakin pudar dalam masyarakat moden.

Faizal Tahir menyampaikan lagu Orang Kampung ketika pelancaran album itu di Sungai Pelek, Selangor pada Ahad.
Faizal Tahir menyampaikan lagu Orang Kampung ketika pelancaran album itu di Sungai Pelek, Selangor pada Ahad.

"Konsep ini menggambarkan bahawa perkara yang baik wajar dikongsi bersama. Apabila kita berkumpul untuk sesuatu yang positif, kita bukan sahaja memperoleh keberkatan daripada ALLAH, tetapi juga memperkukuhkan semangat kasih sayang antara satu sama lain,” katanya.

Lebih menarik, album tersebut merupakan hasil kerjasama dengan rakan penerbit muda yang sedang meningkat naik iaitu Glowrush dan mereka bergerak sebagai duo ‘Let Zapin’.

Tambah Faizal, album Jati Diri bukan sekadar sebuah karya muzik, tetapi juga satu peringatan agar masyarakat tidak melupakan akar budaya dan identiti sendiri dalam arus globalisasi.

“Inspirasi utama saya adalah melihat betapa banyak jati diri kita yang semakin hilang. Saya mahu mengingatkan semua bahawa penting untuk kita memahami dan menghargai asal usul, budaya, dan agama kita agar kita tidak kehilangan arah,” ujarnya.

Album ini turut menampilkan dua figura hebat dalam industri muzik, Altimet dan Datuk M Nasir sebagai penyanyi undangan.

Artikel Berkaitan:

Pemilihan mereka dibuat kerana pengaruh besar yang mereka miliki serta kebijaksanaan dalam menyampaikan mesej bermakna melalui karya masing-masing.

Faizal Tahir (lima dari kiri) selepas membuat persembahan ketika pelancaran album itu di Sungai Pelek, Selangor pada Ahad.
Faizal Tahir (lima dari kiri) selepas membuat persembahan ketika pelancaran album itu di Sungai Pelek, Selangor pada Ahad.

Dari segi susunan muzik dan lirik, Jati Diri berbeza daripada album-album Faizal sebelum ini kerana ia lebih berakar kepada budaya dan warisan tempatan.

Faizal menekankan bahawa cabaran terbesar dalam proses rakaman adalah memastikan setiap elemen dalam album ini sejajar dengan visi dan mesej yang ingin disampaikan.

Lagu ‘Orang Kampung’ merupakan lagu pertama dari album ini yang akan dipromosikan dan ia adalah sebuah lagu yang ceria dan penuh semangat, meraikan keunikan serta nilai-nilai kehidupan di kampung.

“Saya berusaha menyampaikan mesej melalui muzik yang kreatif dan kontemporari tanpa mengorbankan nilai tradisional.

"Album ini menggabungkan elemen muzik tradisional dengan sentuhan moden agar kekal relevan di hati peminat muda,” jelasnya.

Video lirik ‘Orang Kampung’ sudah boleh ditonton di saluran YouTube Faizal Tahir dan album Jati Diri boleh didengari di semua platform penstriman digital bermula 7 Februari.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!