Bukan ambil dari rumah kebajikan, Alyah kongsi identiti anak angkat

PENYANYI popular, Datin Alyah akhirnya mendedahkan identiti sebenar anak angkatnya Nur Izzara, yang dijaga sendiri sejak Jun tahun lalu.
Ujar Alyah atau nama sebenarnya Nor Hasliah Abu Hassan, 44, bayi dipanggil Zara itu bukan diambil dari rumah kebajikan.
Sebaliknya, si comel itu merupakan anak saudaranya dan beliau kini sudah bergelar ibu susuan kepada Izzara.
"Kami tidak ambil Zara dari mana-mana rumah kebajikan atau rumah anak yatim. Zara dengan saya bukan orang lain, dia adalah anak saudara saya sendiri.
"Seperkara lagi, saya sudah susukan Zara. Jadi antara Zara dan Tok Ram (nama panggilan untuk Datuk Ramli MS) mempunyai hak seperti bapa dan anak kandung.
"Harapnya perkongsian ini dapat memberi jawapan kepada pertanyaan ramai berkenaan hal ibu susuan juga," kongsinya menerusi hantaran di Instagram miliknya.
Dalam masa sama, Alyah sempat menasihati ibu bapa yang ingin mengambil anak angkat kerana amanah tersebut merupakan tanggungjawab besar.
“Nasihat saya jangan ikut kata orang atau apa rasa hati kita mahu sebab yang kita jaga ini adalah jiwa dan nyawa.
“Besar tanggungjawab ini, tak mudah. Sebelum apa-apa keputusan dibuat, mohonlah pada Yang Maha Kuasa,” jelasnya.
Jun tahun lalu, penyanyi asal Johor Bahru mengumumkan dia dan suaminya mengambil Nur Izzara sebagai anak angkat.
Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 18 Mac 2013, namun belum dikurniakan cahaya mata.
Menerusi perkahwinan terdahulu, Ramli mempunyai dua anak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

