Tiada aktiviti pelacuran di sebuah hotel di Puncak Alam - Polis

KUALA SELANGOR - Polis menafikan wujudnya sebarang aktiviti pelacuran di sebuah hotel di Pusat Perdagangan Alam Jaya, Puncak Alam seperti yang tular di media sosial pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azaharudin Tajuddin berkata, aktiviti tidak bermoral itu tidak berlaku seperti didakwa dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor telah membuat serbuan dan pemeriksaan di hotel itu pada jam 1.20 pagi Isnin.
"Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati tiada aktiviti pelacuran di hotel terbabit," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut beliau, polis sebelum ini mengesan satu hantaran di TikTok yang memaklumkan terdapat aktiviti pelacuran di kawasan berkenaan.
Sehubungan itu, katanya, orang ramai diingatkan tidak mudah mempercayai atau menyebarkan maklumat tidak sahih.
Sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah, mereka boleh menghubungi bilik gerakan IPD Kuala Selangor di talian 03-32891223 atau mana-mana balai polis berdekatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!