Nafas rugi RM50 juta akibat penyelewengan

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi bercakap pada media mengenai penemuan audit forensik dan kajian Semula kewangan Nafas di Ibu Pejabat Nafas Kota Damansara.
Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi bercakap pada media mengenai penemuan audit forensik dan kajian Semula kewangan Nafas di Ibu Pejabat Nafas Kota Damansara.
A
A
A

PETALING JAYA - Laporan audit forensik yang dilakukan ke atas akaun milik Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) mendedahkan pertubuhan itu menanggung kerugian kira-kira RM50 juta akibat penyelewengan pengurusan kewangan dan tadbir urus.

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata, hasil audit forensik yang dijalankan sebuah firma audit antarabangsa, tujuh kes dikesan menyalahi tatacara kewangan dan tadbir urus syarikat.

Menurutnya, kes itu membabitkan pembelian bangunan ibu pejabat di Kota Damansara, Selangor; ladang kelapa sawit di Sungai Karap, Miri, Sarawak dan hartanah di Muar, Johor yang kesemuanya dibeli dengan harga lebih tinggi dari nilai pasaran.

"Pembelian bangunan yang menempatkan ibu pejabat Nafas di Kota Damansara yang dibeli dengan harga lebih tinggi daripada harga pasaran menyebabkan pertubuhan ini dianggarkan mengalami kerugian kira-kira RM11 juta.

"Bangunan ini dibeli pada 2014 dengan harga RM59.8 juta walaupun harga tawaran asal adalah RM48.5 juta. Apa yang meragukan apabila bangunan ini dinilai pada harga RM57 juta oleh penilai swasta," katanya pada sidang akhbar mengenai laporan audit forensik itu di Ibu Pejabat Nafas, Kota Damansara di sini.

Phahrolrazi berkata, kes itu telah dimaklumkan kepada Pendaftar Pertubuhan Peladang dan tindakan perundangan telah dilakukan pada 4 Februari lalu terhadap Ahli-Ahli Jemaah Pengarah yang terlibat dalam keputusan pembelian berkenaan.

Menurutnya, pembelian ladang kelapa sawit di Sungai Karap mengakibatkan Nafas rugi kira-kira RM12 juta.

"Pada 2016, Nafas telah membeli ladang kelapa sawit di Sungai Karap pada harga yang lebih tinggi dari harga pasaran. Ia dibeli dengan nilai RM135 juta selepas ditawarkan pada harga RM145.4 juta.

"Bagaimanapun penilaian yang dibuat Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) mendapati nilai sebenar ladang tersebut adalah RM122.8 juta," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, keputusan membeli ladang itu juga dibuat secara tergesa-gesa dan terdapat potensi percanggahan kepentingan dalam pembelian ladang itu serta keberangkalian wujud campur tangan dalam urusan jual beli.

Kes berkenaan juga telah dilaporkan kepada Pendaftar Pertubuhan Peladang dan dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Phahrolrazi berkata, hasil audit turut mendapati terdapat konflik kepentingan dalam pembelian hartanah di Muar oleh Nafas Feedmills Sdn Bhd (NFSB).

Beliau menjelaskan, pembelian hartanah melibatkan tanah, bangunan dan mesin itu dibeli dengan harga RM14.5 juta iaitu lebih tinggi daripada penilaian yang dibuat JPPH iaitu RM11.7 juta.

Selain itu, katanya, perjanjian pajakan Wisma Peladang juga didapati merugikan Nafas.

"Penyewaan bangunan milik Nafas iaitu Wisma Peladang di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur amat meragukan apabila apabila kadar sewa yang dikenakan lebih rendah daripada nilai pasaran.

"Perjanjian penyewaan fasa kedua (Mei 2022 hingga April 2042) bertarikh 22 Ogos 2006 juga dibuat sebelum tamat tempoh penyewaan fasa pertama iaitu Mei 2002 hingga April 2022," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, kadar sewaan yang dikenakan pentadbiran Nafas untuk 2015 adalah RM2.5 juta setahun atau RM204,200 sebulan berbanding kadar sewa semasa berdasarkan penilaian JPPH adalah RM3.7 juta setahun atau RM313,600 sebulan.

Dalam pada itu, menurutnya, kecuaian dalam urusan pembelian baja dan stok jualan Nafas turut dikesan.

Tambah beliau, pembelian baja berjumlah 40,000 tan metrik pada 2017 tidak mengikut prosedur biasa yang melibatkan kos RM30 juta.

"Ini termasuk ketiadaan prosedur operasi standard (SOP) bagi pengambilan sampel untuk ujian makmal, pemeriksaan stok ketika baja dihantar oleh pembekal dan ketiadaan dokumen sokongan bagi pembelian tersebut.

"Apabila baja ini dibeli tidak mengikuti spesifikasi yang ditetapkan ia tak boleh dijual dan kita terpaksa mengeluarkan perbelanjaan lain untuk memproses semula baja itu," katanya.

Beliau berkata, kajian semula kewangan mendapati sebahagian pembayaran zakat perniagaan Nafas dibuat kepada penerima tidak layak antaranya kepada Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kemaman berjumlah RM500,000 dan Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak berjumlah RM100,000.

Tegasnya, usaha sedang dilakukan pentadbiran baru Nafas bagi membawa pihak yang terlibat dengan penyelewengan dan kecuaian tatacara kewangan dan tadbir urus itu ke muka pengadilan.

Katanya, sebagai langkah susulan Nafas buat pertama kalinya akan menempatkan pegawai SPRM di ibu pejabat mereka bagi memastikan operasi mereka telus.