Gelongsor air kaca: Pengurusan taman tema dipanggil setelah laporan penuh dibentang - MB

Amirudin ketika berucap dalam Majlis Amanat Menteri Besar Selangor bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Kampung Tradisi Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz di sini, pada Ahad. Foto: Bernama
Amirudin ketika berucap dalam Majlis Amanat Menteri Besar Selangor bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Kampung Tradisi Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz di sini, pada Ahad. Foto: Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor telah menerima laporan bertulis berhubung insiden pelampung gelongsor air kaca yang jatuh dan menimpa pengunjung di sebuah taman tema baru-baru ini.

Bagaimanapun, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau akan menunggu Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Rabu ini untuk laporan penuh sebelum memanggil Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan pengurusan taman tema berkenaan.

"Saya akan panggil pihak mereka (pengusaha) atau majlis. Saya akan tunggu MMKN pada Rabu ini untuk mendapatkan laporan penuh.

"Saya sudah baca laporan bertulis tetapi nak tunggu laporan seterusnya, dan saya minta mereka untuk segera patuh kepada ketetapan yang telah dibuat oleh autoriti seperti MBSA dan lain-lain," katanya.

Tangkap layar video tular memaparkan pelampung terjatuh dari gelongsor air kaca di Menara SkyCity, i-City.
Tangkap layar video tular memaparkan pelampung terjatuh dari gelongsor air kaca di Menara SkyCity, i-City.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Amanat Menteri Besar Selangor bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Kampung Tradisi Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz di sini pada Ahad.

Sebelum ini, tular video berdurasi 18 saat berhubung insiden pelampung permainan gelongsor air kaca setinggi 60 meter dan sepanjang 600 meter di Menara SkyCity, i-City dipercayai terjatuh dan menimpa pengunjung.

Kejadian itu menimbulkan kebimbangan orang ramai yang mempersoalkan mengenai tahap keselamatan permainan di taman tema berkenaan.

Susulan kejadian, MBSA memaklumkan pihaknya telah mengeluarkan lapan notis arahan terhadap taman tema di Seksyen 7 sejak 14 November tahun lalu, namun i-City gagal mematuhi amaran itu sehingga notis terbaharu dikeluarkan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!