Sky i-City tawar pulangan wang kepada pelanggan, usaha operasi semula segera

SHAH ALAM - Susulan insiden tular kemalangan melibatkan pelampung gelongsor air kaca menimpa seorang pengunjung di Sky City, Taman Tema I-City di sini, pengurusan taman tema itu berjanji akan memulangkan semula wang kepada pelanggan yang sudah membeli tiket permainan berkenaan.
Jurucakap Sky i-City berkata, pihaknya turut menawarkan pilihan kepada pelanggan terlibat untuk menukar tiket mereka bagi menikmati tarikan permainan lain di i-City.
Jelasnya, susulan permainan Sky i-City ditutup ketika ini, pengurusan taman tema itu menegaskan sedang berusaha untuk beroperasi semula dengan segera.
Bagaimanapun, pihak pengurusan Sky i-City berkenaan tidak menjelaskan tarikh sebenar penutupannya, status kompaun dikeluarkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) atas kesalahan pembinaan tanpa kelulusan bertulis daripada pihak berkuasa tempatan itu serta tempoh masa ia bakal beroperasi semula.
"Sky i-City menyokong kempen Tahun Melawat Selangor 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026 sepenuhnya dan (pengurusan) sedang berusaha untuk beroperasi semula secepat mungkin.
"Para tetamu dan pengunjung yang telah membeli tiket (permainan Sky i-City) boleh menukar tiket mereka untuk menikmati tarikan lain di (Taman Tema i-City atau meminta pulangan wang penuh mengikut kesesuaian dengan menghubungi 03-55218800," kata jurucakap berkenaan pada Jumaat.
Sebelum ini, polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tular melibatkan pelampung gelongsor air kaca yang tiba-tiba terjatuh dan menimpa seorang pengunjung di Sky City, Taman Tema I-City, Shah Alam, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, laporan berhubung kejadian itu diterima pada jam 1.08 pagi Jumaat selepas video berdurasi 13 saat tersebar di media sosial.
Mohd Iqbal menambah, siasatan lanjut mendapati Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengeluarkan kompaun bertarikh 14 November 2024 kepada pihak pengurusan taman tema berkenaan atas kesalahan pembinaan tanpa kelulusan bertulis daripada MBSA.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 6 Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Selangor 1995 kerana beroperasi tanpa lesen.
Jika sabit kesalahan, pihak pengurusan boleh dikenakan denda maksimum RM25,000 atau penjara hingga tiga tahun. Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dengan perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.
Sementara itu, pihak pengurusan Sky i-CIty sewaktu dihubungi Sinar Harian mengakui tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai status terkini penutupan permainan berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

