Pengusaha taman tema akan dipanggil beri penjelasan - Amirudin

SABAK BERNAM - Kerajaan Selangor akan memanggil pengusaha taman tema yang terlibat dalam insiden pelampung permainan gelongsor air kaca yang terjatuh dan menimpa pengunjung dalam waktu terdekat bagi memberi penjelasan lanjut.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pengusaha tersebut perlu memberi keterangan dan menjawab beberapa persoalan berkaitan insiden berkenaan.
"Kita telah memberikan teguran kepada pihak terbabit sejak November tahun lalu supaya tidak beroperasi kerana perlu mendapat kebenaran daripada MBSA (Majlis Bandaraya Shah Alam) terlebih dahulu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sambutan Perayaan Thaipongal Peringkat Negeri Selangor di Dewan Seri Sekinchan pada Sabtu.
Amirudin memberitahu, pihaknya memandang serius itu dan akan memastikan semua aspek keselamatan diteliti sebelum memberi kebenaran untuk operasi diteruskan.
Ujar beliau, pada masa ini, permainan gelongsor itu telah dihentikan operasi dan jika pihak pengusaha memenuhi spesifikasi keselamatan, mereka boleh memohon untuk beroperasi semula selepas menjalani semakan keselamatan lebih teliti.
"Mereka perlu memenuhi spesifikasi dalam permohonan-permohonan seterusnya dan kita telitilah dari aspek keselamatan dan sebagainya.
"Saya percaya ia boleh beroperasi semula dan paling penting melepasi beberapa syarat ditetapkan MBSA," ujar beliau.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai insiden pelampung permainan gelongsor air kaca setinggi 60 meter (m) dan sepanjang 600 m di Menara SkyCity, i-City dipercayai terjatuh dan menimpa pengunjung.
Susulan itu, MBSA menerusi satu kenyataan memaklumkan, tarikan terbaharu taman tema itu masih belum mendapat kelulusan untuk beroperasi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

