Selangor akan perketat syarat keselamatan taman tema, hiburan - Exco

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor akan memperketat pemantauan dan memperkukuhkan syarat keselamatan semua taman tema serta tempat hiburan di negeri ini.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim berkata, ia bagi mengelakkan insiden pelampung permainan gelongsor air kaca yang jatuh dan menimpa pengunjung di i-City di sini pada Rabu lalu berulang kembali.
"Bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan pengunjung, pihak berkuasa tempatan (PBT) akan meneliti semula prosedur kelulusan setiap taman tema di negeri ini.
"Ia untuk mengukuhkan mekanisme penguatkuasaan agar setiap taman tema di negeri ini beroperasi mengikut piawaian yang ditetapkan.
"Kerajaan negeri akan meningkatkan standard keselamatan, pematuhan industri rekreasi untuk semua pengunjung. Semua pengusaha taman tema dan hiburan perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan demi kepentingan bersama," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Mohd Azhar Mohd Sharif memaklumkan, permainan itu masih belum mendapat kelulusan pihaknya untuk beroperasi selepas insiden pelampung dilaporkan jatuh dan menimpa pengunjung.
Susulan itu, polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada jam 1.08 pagi Jumaat lalu.
Mengulas lanjut, Suee Lim berkata, kerajaan negeri mengambil maklum mengenai insiden terbabit yang menimbulkan kebimbangan orang ramai berkenaan keselamatan dan pematuhan peraturan di taman tema.
"MBSA mengeluarkan enam notis dan arahan susulan daripada tiga lawatan tapak yang dijalankan pada November dan Disember lalu bagi memastikan semua prosedur perancangan dan keselamatan dipatuhi sebelum operasi bermula.
"Bagaimanapun, pihak berkenaan masih gagal mematuhi arahan yang ditetapkan, lalu MBSA mengambil langkah termasuk pengeluaran kompaun dan arahan pemberhentian operasi semalam sehingga semua kelulusan dipenuhi.
"Pada Jumaat, kerajaan negeri melalui MBSA mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan taman tema terbabit bagi memastikan semua proses pematuhan dapat diselesaikan segera," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
