Kerajaan disaran perkenal perkhidmatan jangka pendek dalam tentera

Kerajaan juga boleh melihat kepada pengambilan askar simpanan seperti wataniah dan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) untuk diserap secara tetap. Foto Bernama (Gambar kecil: Zaki Salleh)
Kerajaan juga boleh melihat kepada pengambilan askar simpanan seperti wataniah dan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) untuk diserap secara tetap. Foto Bernama (Gambar kecil: Zaki Salleh)
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia boleh mempertimbangkan untuk perkenal skim perkhidmatan jangka pendek sebagai alternatif bagi menarik minat perajurit yang berkualiti dan memenuhi kriteria untuk menyertai Tentera Darat Malaysia (TDM).

Penganalisis Pertahanan, Zaki Salleh berkata, sistem itu banyak diamalkan oleh beberapa negara maju seperti Amerika Syarikat dan di Eropah.

Menurutnya, kerajaan juga boleh melihat kepada pengambilan askar simpanan seperti wataniah dan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) untuk diserap secara tetap.

“Sistem yang diamalkan di negara kita ialah perkhidmatan wajib sampai 21 tahun dan boleh disambung hingga 26 tahun. Bagaimanapun, dalam tempoh itu, mereka boleh berhenti awal seperti selepas 10 tahun.

“Di beberapa negara maju, mereka menawarkan perkhidmatan jangka pendek seperti tiga hingga ke lima tahun. Seperti di Amerika, mereka boleh dipanggil balik berkhidmat atau jika ingin kembali menjadi askar.

“Kita juga mempunyai askar wataniah yang boleh diserap tetap tetapi ada prosesnya. Ada beberapa lagi skim untuk masuk dalam pasukan yang boleh diguna pakai, termasuk Palapes daripada universiti untuk pegawai,” katanya pada Ahad.

Beliau mengulas kenyataan Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan yang mengakui TDM berhadapan cabaran mendapatkan perajurit berkualiti dan memenuhi kriteria diperlukan.

Mengulas lanjut, Zaki melihat cadangan Muhammad Hafizuddeain untuk melonggarkan syarat kemasukan dengan tidak terlalu kritikal dalam aspek fizikal namun tidak berkompromi soal kesihatan sebagai perkembangan positif.

Ujar beliau, ia akan memberi peluang kepada calon yang ada kelayakan tetapi tidak melepasi syarat sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

“Kita perlu melihat keperluan tertentu contohnya untuk sains dan teknikal yang amat diperlukan tentera. Jadi, kelonggaran mungkin boleh diberikan kepada cawangan atau bahagian yang tidak memerlukan syarat fizikal dan mental serta kecergasan ketat seperti unit infantri, artileri dan gerak khas.

“Contohnya masalah ketinggian dan penglihatan yang bukan kronik tetapi ada ciri-ciri yang dikehendaki seperti ada pengetahuan dalam bidang teknologi, kejuruteraan, sains untuk dipilih berkhidmat di cabang-cabang pasukan yang bukan dalam infantri iaitu cawangan tentera darat.

“Bagaimanapun, syarat utama seperti kesihatan dan kecergasan mesti ditepati dan tiada kompromi,” jelasnya.

Ditanya ciri-ciri perajurit berkualiti katanya, paling utama ialah kesihatan dan akademik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!