Parti Melayu perlu bersatu agar tidak mudah dihina - Rosol

HULU TERENGGANU - Parti Melayu di negara ini perlu bersatu dan mengetepikan sentimen politik agar tidak mudah dihina dan ditindas.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Rosol Wahid berkata, penyatuan yang kukuh penting agar tiada pihak berani menyentuh mengenai isu sensitif terutama melibatkan agama, raja dan kaum (3R).
Menurutnya, beliau kurang senang terhadap kenyataan dikeluarkan oleh sesetengah pihak yang seolah-olah mencabar kedudukan orang Melayu di negara ini.
"Kita tidak mahu bersikap rasis, oleh itu hormatilah tuan rumah dan hak kita (Melayu) kerana selama bertahun-tahun kita pelbagai bangsa di negara ini hidup dalam keadaan aman damai.
"Baru-baru ni saya baca ada yang melabelkan UMNO umpama lalat di telinga singa. Ini apa... usah cuba mainkan api perkauman dan sentuh perkara sensitif.
"Berhati-hatilah dalam mengeluarkan kata-kata sedemikian," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Himpunan Tok Dekor di Kampung Buluh Batu Bersurat, di sini pada Ahad.

Sebelum ini Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming dilaporkan menggelar Ketua Pergerakan UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh sebagai ‘lalat’.
Untuk rekod, Kor Ming yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan melabelkan Akmal sebagai lalat ketika beliau mengambil pendirian enggan melayan cabaran Akmal untuk berdebat berhubung isu kontroversi sandwic ham.
Jelas Kor Ming, dia meletakkan dirinya sebagai singa dan tidak layak untuk berdebat dengan Akmal yang dianggap sebagai lalat.
Dalam pada itu, Rosol secara peribadi berpandangan bahawa Muafakat Nasional (MN) yang dibentuk hasil gabungan parti politik Melayu sebelum ini masih kekal dan tidak 'berkubur'.
"Saya beranggapan bahawa MN tidak pernah mati, cuma bila kita kemukakan hal itu kepada kepimpinan UMNO, mereka menolak dengan alasan tidak mahukan parti Bersatu kerana parti itu menderhaka dan dilabel sebagai pengkhianat.
"Sedangkan kita tahu UMNO dan Pas berpuluh tahun bergaduh dan boleh bersama, mengapa sedikit sahaja masalah (dengan Bersatu), kita nak korbankan perpaduan dianjurkan agama," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!