'Abang sudah sedar, adik masih dirawat' - Dua beradik yatim piatu sekelip mata

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Anak sulung kepada pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan di Gua Musang, mulai sedar namun adik perempuannya masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) di sini pada Ahad.
Nenek mereka, Norlela Malek, 47, berkata, kedua-duanya cucunya itu, Muhammad Izz Danial Muhammad Syamie Farhan, 5, dan Nur Irdina Delisha, enam bulan berada dalam pemantauan doktor di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
“Alhamdulillah, keadaan mereka stabil dan yang sulung sudah sedar.

“Cuma adiknya masih dipantau rapi oleh doktor,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Norlela, Nur Irdina Delisha dimasukkan bilik pembedahan untuk memasukkan usus pada jam 4.30 petang Sabtu namun pembedahan tersebut tidak dapat dilakukan.
“Pembedahan memasukkan usus tidak dapat dilakukan kerana usus masih bocor dan terdapat luka dalaman.

“Sehingga kini Nur Irdina Delisha masih dirawat di PICU,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi Sabtu, dua beradik terbabit yatim piatu selepas bapa mereka, Muhammad Syamie Farhan Adnan, 25, dan ibu mereka, Nurul Syafika Anis Zulkifli, 26, terkorban kerana tersepit dalam kenderaan.
Mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang selepas seharian bersiar-siar di Kota Bharu sebelum kereta dipandu Muhammad Syamie Farhan terbabas di selekoh dan masuk ke laluan bertentangan lalu merempuh treler bermuatan air botol minuman.
Jenazah pasangan suami isteri terbabit selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Lembaga Gua Musang pada jam 2.45 petang, Sabtu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

