Pasangan suami isteri maut, dua anak cedera

Keadaan kereta mangsa yang remuk selepas kemalangan.
Keadaan kereta mangsa yang remuk selepas kemalangan.
A
A
A

GUA MUSANG - Sepasang suami isteri maut manakala dua anak mereka seorang lelaki berusia 5 tahun dan bayi perempuan 10 bulan cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dengan treler di Kilometer (KM) 3 Jalan Gua Musang - Kuala Krai pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1 pagi itu mengorbankan Muhammad Syamie Farhan Adnan, 25, dan isteri Nurul Syafika Anis Zulkifli, 26.

Menurut beliau, pemandu treler seorang lelaki berusia 45 tahun terselamat.

“Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Gua Musang menerima satu makluman berhubung kejadian pada jam 1.10 pagi.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati kejadian melibatkan treler jenis Scania dipandu dengan sebuah kereta jenis Perodua MyVi dinaiki keluarga berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau memberitahu, siasatan awal mendapati kenderaan dipandu oleh Muhammad Syamie Farhan dari arah Kuala Krai menghala ke Gua Musang.

Lokasi kemalangan di Gua Musang pada Sabtu.
Lokasi kemalangan di Gua Musang pada Sabtu.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, kereta yang melalui selekoh ke kanan jalan hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung treler terbabit.

“Kemalangan turut menyebabkan treler tersebut turut terbabas lalu terbalik, manakala kereta tersebut terbabas terbabas di bahu kiri jalan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, akibat kemalangan itu, pemandu kereta dan isteri yang duduk di tempat penumpang hadapan tersepit dalam kenderaan sebelum dikeluarkan oleh anggota dari Balai Bomba Gua Musang.

“Kedua-duanya disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan manakala dua anak mereka dikejarkan ke hospital Gua Musang untuk menerima rawatan,” katanya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian menyalurkan

maklumat bagi membantu siasatan,” katanya.

Maklumat boleh disalurkan ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Gua Musang di talian 09-9121222 atau pegawai penyiasat di talian 013-3010408.

Ends

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!