'Ambillah hati ibu nak'

Nur Atiqah dan suami berharap pembedahan pemindahan hati terhadap Nur Alisya dapat dilakukan segera.
Nur Atiqah dan suami berharap pembedahan pemindahan hati terhadap Nur Alisya dapat dilakukan segera.
A
A
A

SEREMBAN - Demi kasih terhadap anaknya, seorang ibu sanggup mendermakan sebahagian hati untuk anaknya yang menderita penyakit kegagalan fungsi hati atau biliary atresia.

Nur Atiqah Barawi, 33, sanggup melakukan apa saja supaya Nur Alisya Humaira Mohd Shahril yang berusia 11 bulan dapat membesar dengan sihat seperti kanak-kanak lain.

Dia dah suami, Mohd Shahril Ishak, 33, kini hanya menunggu masa untuk berlepas ke China bagi melakukan pembedahan pemindahan hati yang dijangka pertengahan Februari ini.

Keadaan perut Nur Alisya yang membengkak.
Keadaan perut Nur Alisya yang membengkak.

Bercerita lanjut, ibu kepada dua anak itu berkata, Nur Alisya disahkan menghidap penyakit berkenaan pada usia lapan bulan selepas mengalami penyakit kuning yang berterusan.

"Biasalah bayi akan alami kuning, tapi selepas dua minggu itu akan baik.

"Cuma sewaktu saya bawa anak temu janji di klinik kesihatan ketika usianya sebulan, doktor memaklumkan kulit anak saya kelihatan kuning dan meminta rujuk ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini," katanya ditemui Sinar Harian di rumahnya di Senawang pada Ahad.

Menurutnya, sepanjang seminggu anaknya ditahan di wad HTJ, dia dikhendaki membuat pemeriksaan darah bagi mengenal pasti masalah dihadapi.

Bagaimanapun katanya, doktor masih gagal mengesan apa-apa sehinggalah tiba-tiba najis anaknya berwarna pucat.

Artikel Berkaitan:

"Masa itulah doktor mengesyaki anak ada masalah kegagalan fungsi hati dan minta kami rujuk ke Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur memandangkan di sana ada pakar ultrasound.

"Doktor menyarankan anak saya menjalani 'open surgery' bagi mengesahkan yang dia alami masalah hati," katanya.

Nur Atiqah dan suami berharap pembedahan pemindahan hati terhadap Nur Alisya dapat dilakukan segera.
Nur Atiqah dan suami berharap pembedahan pemindahan hati terhadap Nur Alisya dapat dilakukan segera.

Mengenang anaknya yang masih kecil, Nur Atiqah mengakui berat hati untuk meneruskan prosedur tersebut, ditambah pula tiada simptom-simptom serius lain yang dilihat padanya.

Bagaimanapun ujarnya, selepas lima bulan, keadaan anaknya mula menunjukkan perubahan ketara apabila warna matanya bertukar kuning dan perutnya pula semakin membesar.

"Kemuncaknya apabila kemaluan anak saya turut membengkak dan sebaik saja kami bawa ke hospital, doktor beritahu yang hatinya telah kronik.

"Pilihan yang kami ada ialah untuk segera membuat pemindahan hati dan selepas mendapat saranan daripada pelbagai pihak termasuk ibu bapa yang ada anak hadapi masalah sama, kami putuskan buat prosedur tersebut di China,"katanya yang bekerja swasta.

Tambahnya, dia telah mendapatkan bantuan daripada Pertubuhan Biliary Atresia iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan(NGO) yang berjaya mengumpul dana untuk kos pembedahan berjumlah RM185,000.

Dia bersyukur kerana tidak perlu lagi bimbang soal kos pembedahan, namun masih bimbang sekiranya ada kos tambahan lain termasuk rawatan susulan selepas itu.

"Mungkin ada yang fikir kenapa saya tak buat saja pemindahan hati itu di negara ini yang kosnya lebih murah, tapi sebagai ibu saya nak yang terbaik untuk anak saya.

"Jadi, sekarang ini kami hanya tunggu tarikh saja untuk ke sana dan saya serahkan kepada ALLAH semuanya," katanya.

Bagi sesiapa yang mahu memberi sumbangan boleh salurkan ke akuan 155135194672 Maybank atas nama Nur Atiqah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!