Sanggup beratur sambil gendong anak demi dapatkan telur murah di Jualan Rahmah

Norsiha sanggup beratur lebih setengah jam sambil menggendong anaknya ketika membeli barang keperluan harian di Jualan Rahmah yang diadakan di Taman Keramat, Likas.
Norsiha sanggup beratur lebih setengah jam sambil menggendong anaknya ketika membeli barang keperluan harian di Jualan Rahmah yang diadakan di Taman Keramat, Likas.
A
A
A

KOTA KINABALU - Sanggup beratur lebih setengah jam sambil menggendong bayi, malah ada yang terpaksa membawa semua anak-anak keluar dari rumah semata-mata mahu mendapatkan barang keperluan harian sempena Program Jualan Rahmah Madani.

Itu antara gelagat pengunjung yang dilihat hadir ke Jualan Rahmah yang diadakan di Taman Keramat, Likas, pada Sabtu, apabila rata-rata mereka tidak mahu melepaskan peluang membeli barangan yang sukar didapati di pasaran dengan harga yang jauh lebih murah.

Armizan sempat meninjau jualan barang keperluan yang dibeli pengunjung di Jualan Rahmah yang diadakan di Taman Keramat, Likas.
Armizan sempat meninjau jualan barang keperluan yang dibeli pengunjung di Jualan Rahmah yang diadakan di Taman Keramat, Likas.

Antara barang yang menjadi rebutan termasuk telur ayam, minyak masak dan gula kerana ketiga-tiga barangan tersebut boleh dikatakan sukar didapati dengan harga yang murah.

Seorang pengunjung, Norsiha Omar, 34, memaklumkan dia mengetahui program itu diadakan di Likas, melalui TikTok Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang diikutinya.

Menurutnya, jika Jualan Rahmah diadakan di sekitar Kota Kinabalu dia akan maklumkan kepada ahli keluarga lain supaya mereka pun dapat barangan keperluan harian tersebut dengan harga yang lebih murah.

"Harga telur ayam, minyak dan gula kalau di luar Jualan Rahmah sangat mahal bagi golongan B40 seperti kami, jadi bila ada Jualan Rahmah inilah peluang untuk kami mendapatkan barangan keperluan dengan harga jauh lebih murah.

"Contohnya, telur ayam jenis omega di kedai runcit boleh mencecah sehingga RM20 satu papan, tetapi hari ini saya boleh dapat dengan harga RM10.50 untuk satu papan.

"Jadi saya tidak kisah walaupun terpaksa beratur lebih setengah jam sambil menggendong anak seberat lapan kilogram itu bukan halangan untuk mendapatkan barangan keperluan harian," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada program tersebut.

Artikel Berkaitan:

Tambah Norsiha lagi, dengan wang kurang daripada RM100 dia juga dapat membelikan makanan untuk anak-anaknya di Jualan Rahmah tersebut.

"Jadi hari ini bagi saya ia berbaloi, kerana selain dapat beli minyak paket dan telur, dengan hanya berbelanja RM60 saya juga dapat membeli mi segera dan biskut untuk anak-anak," katanya.

Seorang lagi pengunjung, Fredolin Alphonsus, 39, berkata, demi sepapan telur ayam dan beberapa barang keperluan lain dia sanggup beratur bersama tiga anaknya untuk membeli barang di Jualan Rahmah tersebut.

Fredolin sanggup bawa anak-anaknya untuk membeli barang keperluan harian di Jualan Rahmah yang diadakan di Taman Keramat, Likas.
Fredolin sanggup bawa anak-anaknya untuk membeli barang keperluan harian di Jualan Rahmah yang diadakan di Taman Keramat, Likas.

"Saya memang penghuni di taman ini dan bila diberitahu Jualan Rahmah diadakan, saya bawa anak-anak keluar bersama untuk membeli barangan memandangkan tiada yang menjaga mereka.

"Jadi berbaloi juga kerana harga untuk barang yang ditawarkan sangat murah berbanding di luar seperti telur, minyak paket dan beberapa barangan lain," katanya.

PJRM tersebut turut dihadiri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, Ahli Parlimen Kota Kinabalu merangkap Timbalan Menteri Perladangan dan Komuniti, Datuk Chan Foong Hin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas merangkap Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Tan Lee Fatt.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!