Loji air kritikal: 11,000 akaun pengguna terjejas

Summugam (tengah) melawat LRA Bukit Selambau bagi meninjau operasi pembekalan air yang terjejas ke kawasan sekitar.
Summugam (tengah) melawat LRA Bukit Selambau bagi meninjau operasi pembekalan air yang terjejas ke kawasan sekitar.
A
A
A

SUNGAI PETANI- Sebanyak 11,000 akaun pengguna dianggarkan terjejas akibat ketiadaan bekalan air sekitar Sungai Petani dan Bukit Selambau sejak Khamis lalu.

Syarikat Air Darul Aman (SADA) dalam satu kenyataan semalam memaklumkan bahawa Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Selambau tidak dapat beroperasi akibat paras sungai rendah.

Kenyataan itu menyebut berdasarkan pemantauan paras muka sauk di LRA Bukit Selambau pada jam 8 pagi semalam mendapati, paras semasa ‘intake’ ialah 1.32 meter iaitu paras bahaya.

"Sehubungan itu, SADA melalui Pengurusan Wilayah Kedah Tengah telah mengambil langkah meningkatkan penghantaran bantuan bekalan air melalui lori tangki ke kawasan terjejas bermula Khamis hingga lewat malam dan disambung semula pada pagi tadi (semalam).

"Bilangan lori tangki ditambah daripada lima kepada sepuluh untuk mempercepatkan bantuan bekalan air kepada pengguna terjejas," katanya.

Kenyataan itu turut memberitahu, jarak perjalanan lori tangki melakukan pengisian air yang jauh memakan masa hampir dua jam untuk satu trip penghantaran (masa pergi dan balik) menyebabkan kelewatan operasi penghantaran bekalan.

"Kawasan bantuan yang telah diagihkan semalam meliputi sebahagian kawasan Amanjaya Anggerik, Kelisa Ria, Kampung Sungkup Para, Taman Seroja dan beberapa buah rumah yang memohon bantuan untuk majlis kenduri.

"Bagi mengurangkan masa perjalanan mengisi air, SADA telah menempatkan lori tangki berkapasiti besar (jumbo tanker) di Amanjaya Zon Kemboja bagi membantu mengagihkan bantuan bekalan ke Zon Anggerik, Kelisa Ria, SP Height dan kawasan sekitarnya.

Artikel Berkaitan:

"Lori berkapasiti besar juga akan ditambah di kawasan Masjid Al-Wajdi, Bukit Selambau khususnya untuk lori agihan bantuan bekalan yang beroperasi di Bukit Selambau.

"Langkah ini dapat menjimatkan masa perjalanan kerana lori perlu mengambil air di LRA Kuala Ketil atau di Stand Post berdekatan Perwaja Steel, Gurun.

"Pengagihan bantuan bekalan akan diteruskan hari ini(semalam) dengan menumpukan kepada penghantaran ke masjid di sekitar Bukit Selambau bagi memudahkan urusan solat Jumaat.

"Antara kawasan bantuan agihan yang akan digerakkan melibatkan Amanjaya Zon Anggerik, SP Heights, Taman Kelisa Ria, Kampung Jerong, Kampung Kuala Sin, Perumahan Awam Bukit Selambau, Taman Cempaka dan Taman Cempaka Baru,"katanya.

Pihak SADA juga telah mengagihkan semula bekalan ke Kampung Pantai Chicar dengan menggunakan sumber bekalan air alternatif dari LRA Kuala Ketil.

Dalam perkembangan sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau, R Summugam melakukan tinjauan ke LRA Bukit Selambau bagi melihat situasi yang menjejaskan bekalan air.