'Tumpu masalah ekonomi, Covid-19 berbanding peralihan kuasa'

Wan Azizah mempengerusikan Mesyuarat Khas High Level Committee Jawatankuas a Pengurusan Bencana Pusat berhubung COVID-19 di Dewan Persidangan ICU Bangunan Perdana Putra sebelum ini. - Foto BERNAMA
Wan Azizah mempengerusikan Mesyuarat Khas High Level Committee Jawatankuas a Pengurusan Bencana Pusat berhubung COVID-19 di Dewan Persidangan ICU Bangunan Perdana Putra sebelum ini. - Foto BERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan bahawa fokus kerajaan kini lebih ditumpukan kepada isu ekonomi dan masalah koronavirus (Covid-19) berbanding peralihan kuasa.

Menurutnya, pada Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), sebulat suara bersetuju dengan peralihan kuasa Perdana Menteri ditentukan sepenuhnya oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Kita ada banyak masalah juga kerana kita dihadapi kluster Covid-19 dan cara kita menanganinya.

"Kita ada perjanjian bahawa ada akan ada peralihan dan sudah disepakati bagaimana tarikhnya adalah selepas APEC (Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik)," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Kayuhan Kasih Mesra di Pandan Perdana hari ini.

Wan Azizah beramah mesra dengan seorang kanak-kanak kurang upaya pada Program Kayuhan Kasih Mesra di Pandan Perdana hari ini.
Wan Azizah beramah mesra dengan seorang kanak-kanak kurang upaya pada Program Kayuhan Kasih Mesra di Pandan Perdana hari ini.

Pada mesyuarat Majlis Presiden PH malam tadi, kesemua pemimpin terbabit dilaporkan sebulat suara bersetuju peralihan kuasa Perdana Menteri ditentukan sepenuhnya oleh Dr Mahathir.

Pada mesyuarat yang berlangsung pada jam 9.30 malam hingga 12 tengah malam itu Dr Mahathir berkata, secara keseluruhannya ia terarah kepada ‘masa depan’ PH.

Wan Azizah berkata, semua pihak harus menghormati hasil keputusan mesyuarat Majlis Presiden PH yang menetapkan bahawa soal peralihan kuasa Perdana Menteri diserahkan kepada Dr Mahathir.

Artikel Berkaitan:

Selain Wan Azizah, mesyuarat turut dihadiri Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Hadir sama, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Sementara itu, Program Kayuhan Kasih Mesra sejauh lima hingga 10 kilometer anjuran Kelab Basikal Komuniti Ampang (MCC) dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Pandan itu membabitkan kira-kira 500 peserta.

Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, dalam keadaan Malaysia bakal menghadapi status negara tua pada 2030 adalah penting untuk masyarakat menjadi sebuah komuniti yang aktif.

“Memang tidak dinafikan, senaman berbasikal sememangnya sudah semakin menjadi pilihan rakyat tanpa mengira usia. Saya percaya warga yang sihat, cergas dan berdisiplin akan menyumbang kepada prestasi dan peningkatan produktiviti untuk diri dan negara," katanya.