Pengguna boleh panjangkan aduan isu kepenggunaan ke TTPM-KPDN

KOTA KINABALU - Pengguna yang ingin mendapatkan keadilan dalam isu kepenggunaan boleh memanjangkan aduan mereka ke peringkat Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) untuk diadili di mahkamah khas pengguna di negara ini.
Malah untuk melakukan tuntutan atau aduan di peringkat TTPM tidak memerlukan kos yang begitu tinggi bagi membantu pengadu mendapatkan keadilan dalam isu kepenggunaan.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah, Shahril Nizam Shahidin berkata, orang awam atau pengguna mempunyai pilihan untuk memanjangkan aduan mereka ke peringkat TTPM.
"Sekiranya aduan dilaksanakan dan kami telah buat siasatan, kemudian kita akan lihat pula di bawah kesalahan mana dan adakah sesuai untuk dikenakan kompaun atau kes diangkat ke peringkat lebih tinggi.
"Contohnya kes tertentu apabila pihak KPDN memberi respons kepada pengguna namun mungkin pengguna masih tidak berpuas hati maka pihak KPDN boleh memberikan pilihan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Jualan Rahmah Madani, di Taman Keramat, Likas, pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kaedah-kaedah yang boleh digunakan orang ramai untuk membuat aduan mengenai isu-isu melibatkan hak pengguna.
Jelasnya lagi, KPDN bersedia untuk memberi pilihan kepada pengguna dan aduan yang dibuat di TTPM juga tidak melibatkan kos yang mahal.
"Maksudnya masyarakat atau pengguna mempunyai pilihan untuk memanjangkan ke peringkat Tribunal Tuntutan Pengguna dengan kos yang rendah.
"Untuk membuka fail tribunal tidak tinggi, tidak sampai pun berpuluh ringgit dan prosedur selanjutnya akan dilaksanakan.
"Sebab TTPM adalah satu saluran yang memudahkan sebarang tuntutan yang melibatkan kepenggunaan dan ini antara yang banyak kami terima juga, di mana pengadu tersebut masih tidak berpuas hati dengan penyelesaian yang diberikan maka boleh dipanjangkan ke peringkat lebih tinggi dan ia akan diadili dalam mahkamah khas untuk pengguna," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
