KPDN Johor serbu stor penyimpanan haram, rampas 903 tong LPG

Sebahagian tong LPG yang dirampas KPDN Johor. Foto KPDN Johor
Sebahagian tong LPG yang dirampas KPDN Johor. Foto KPDN Johor
A
A
A

KULAI - Kementerian Perdangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor merampas sebanyak 903 unit tong gas petroleum cecair (LPG) pelbagai jenama berkapasiti 14 dan 50 kilogram (kg) hasil serbuan di sebuah stor penyimpanan haram, di sini pada Selasa.

Menurut Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo, beberapa dokumen turut disita termasuk menahan empat lelaki warga asing berusia dalam linkungan 30-an yang dipercayai penjaga stor bagi membantu siasatan.

“Hasil pemeriksaan mendapati stor tersebut menyimpan LPG bagi tujuan aktiviti penyelewengan atau ‘decanting’ iaitu memindahkan gas dari tong berkapasiti 14kg ke tong berkapasiti 50kg bagi kegunaan industri

“Pemeriksaan lanjut lanjut juga mendapati stor tersebut gagal mengemukakan dokumen/permit penyimpanan atau lesen barang kawalan berjadual LPG apabila diminta.

“Oleh itu, satu tindakan kes telah dihasilkan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. Serbuan ini dilakukan hasil aduan awam melalui inisiatif KITA GEMPUR dan risikan yang dilakukan beberapa hari sebelum operasi dilancarkan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 kerana menyimpan barang kawalan tanpa lesen atau permit menyimpan yang sah.

Jika sabit kesalahan denda sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertubuhan atau perbadanan, denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

Siasatan lanjut juga akan dilakukan di bawah AKB 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti atau rantaian pengedaran LPG termasuklah sumber LPG diperoleh dan edaran mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!