Enam remaja ditahan buat aksi berbahaya

JOHOR BAHRU - Seramai enam remaja lelaki berusia 16 hingga 19 ditahan polis dalam Op Samseng Jalanan kerana menunggang motosikal dengan melakukan aksi berbahaya di bandar raya ini pada awal pagi Sabtu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, enam motosikal turut disita dalam operasi selama empat jam yang bermula pada jam 1 pagi.
Menurut beliau, operasi dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan membabitkan seorang pegawai dan lapan anggota.
“Remaja terbabit didapati mempamerkan aksi yang boleh mengundang bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.
“Menerusi operasi ini enam motosikal turut disita untuk pemeriksaan lanjut di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Polis turut mengeluarkan 10 keping saman atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu dan ubah suai struktur kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurut Raub, tindakan undang-undang diambil bagi mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya penunggang motosikal supaya mematuhi peraturan undang-undang serta peraturan lalu lintas.
"Kita akan terus memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap aktiviti samseng jalanan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya yang lain dan ketenteraman awam sentiasa terjamin.
"Selain itu ia bagi mengelakkan berlakunya sebarang kecelakaan yang tidak diingini khususnya pada musim perayaan terutama ketika perayaan Tahun Baharu Cina dan musim cuti persekolahan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

