MBPJ galak warga tempatan berniaga ganti warga asing langgar syarat

MBPJ telah melaksanakan operasi di Jalan SS 2/24 PJ, Jalan 21/1 Sea Park, Petaling Jaya dan Jalan 20/14 Taman Paramount, Petaling Jaya baru-baru ini. Foto: FB MBPJ (Gambar kecil: Mohamad Zahri)
MBPJ telah melaksanakan operasi di Jalan SS 2/24 PJ, Jalan 21/1 Sea Park, Petaling Jaya dan Jalan 20/14 Taman Paramount, Petaling Jaya baru-baru ini. Foto: FB MBPJ (Gambar kecil: Mohamad Zahri)
A
A
A

SHAH ALAM - Usahawan tempatan diminta mengambil peluang mengisi kekosongan perniagaan ditinggalkan warga asing selepas tindakan penguatkuasaan dijalankan terhadap mereka yang melanggar peraturan dan syarat ditetapkan.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingan berkata, rakyat tempatan perlu tampil sebagai usahawan baharu atau menjadi pembantu kedai supaya terus mengembangkan perniagaan bagi memenuhi kehendak penduduk setempat.

Menurut beliau, MBPJ telah melaksanakan tindakan penguatkuasaan bersepadu yang turut dijalankan bersama-sama dengan Jabatan Imigresen Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjangan Januari ini.

"Setakat ini, MBPJ telah menjalankan tujuh operasi bersepadu pada tahun ini yang menyaksikan penahanan seramai 143 individu warga asing.

"Kita telah membuat 77 semakan premis, 11 kompaun, 50 tindakan sitaan dan 20 penutupan premis," katanya dalam satu video yang disiarkan di Facebook MBPJ pada Sabtu.

Mohamad Zahri memberitahu, tujuan utama operasi bersepadu itu adalah untuk memastikan pematuhan terhadap undang-undang dan syarat yang ditetapkan MBPJ.

Jelas beliau, MBPJ memohon semua pihak sentiasa cakna dan mematuhi peraturan, syarat dan garis panduan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan diambil tindakan.

Sehubungan itu, katanya, di peringkat MBPJ turut menyediakan program pembangunan usahawan MBPJ 2025.

"Kita masih ada lagi 1, 970 kekosongan petak berniaga di 23 lokasi pasar malam di Petaling Jaya," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai yang berminat boleh melayari laman web www.mbpj.gov.my atau media sosial Facebook Majlis Perbandaran Petaling Jaya dan usahawan MBPJ untuk maklumat lanjut dan pendaftaran kursus.

Usahawan yang ingin mendapatkan nasihat boleh hadir terus ke Menara MBPJ untuk berjumpa dengan pegawai berkenaan dan mendapatkan bimbingan mengenai cara memulakan perniagaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!