Tular warga asing 'bersidai' di TBS

KUALA LUMPUR - Tular rakaman video warga asing berkumpul di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di sini, hingga mengundang rasa tidak selesa warga tempatan.
Klip video tular pada Isnin, berdurasi 56 saat itu memaparkan warga asing duduk serta baring di kawasan berumput di sekitar kawasan TBS.
Malah kehadiran golongan warga asing itu turut menimbulkan rasa kurang selesa apabila ada dalam kalangan mereka yang didakwa membuang sampah merata-rata.
Tinjauan Sinar Harian di ruangan komen mendapati pelbagai komen negatif daripada kalangan warganet.
Kalangan warga tempatan melontarkan rasa bimbang kerana menjejaskan imej Malaysia selain menggesa tindakan tegas diambil pihak berkuasa.
Sementara itu, Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, pihaknya memandang serius isu melibatkan warga asing yang tidak memiliki dokumen dan sebagainya.
"Masyarakat disarankan menyalurkan aduan kepada kita untuk tindakan.
"Jabatan Imigresen tidak kompromi sebarang perkara melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
