Penunggang maut motosikal terbabas awal pagi

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki maut apabila motosikal ditunggangnya terbabas di kilometer (KM) 11.1 Lebuhraya Iskandar Sultan di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, kemalangan dipercayai berlaku pada jam 5.45 pagi ketika lelaki warga tempatan berusia 25 tahun itu dalam perjalanan dari arah Bukit Indah menuju ke arah Johor Bahru dengan menunggang motosikal jenis Yamaha Y16ZR.
"Setibanya ke lokasi, mangsa hilang kawalan lalu terbabas melanggar penghadang besi di sebelah kanan jalan.
"Akibat daripada kemalangan tersebut, penunggang motosikal terbabit cedera parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kes diharap dapat menghubungi serta menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Zulhisyam Aziz di talian 019-7432966.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!