'Apa jadi pada anak saya?' – Bapa

JOHOR BAHRU – “Apa terjadi kepada anak saya? Kenapa tiada penjelasan diberikan?” Itu persoalan yang disuarakan S Pannir, 54, bapa kepada tahanan Pusat Koreksional Johor Bahru di Ulu Choh, Pontian, P Jagdesshraj, 21, yang kini terlantar di Hospital Sultanah Aminah (HSA) sejak hampir dua minggu lalu.
Menurut Pannir, anak bongsunya itu juga didapati berada dalam keadaan kritikal dengan mata yang bengkak dan lehernya terpaksa ditebuk akibat kesukaran bernafas.
Malah, katanya, sehingga ke hari ini tiada sebarang penjelasan yang diberikan kepadanya sama ada daripada pihak Pusat Koreksional berkenaan mahu pun daripada pihak HSA mengenai keadaan anaknya itu.

"Sebelum ini, saya kerap mengunjungi anak saya di penjara reman dan setiap kali itu juga dia mengadu sakit leher; namun saya tidak mengesyaki apa-apa tetapi bila nak melawatnya minggu lepas, saya dimaklumkan dia tidak ada di sana kerana telah dirujuk ke hospital.
“Saya terkejut apabila mendapat tahu anak saya dirujuk ke hospital tanpa pengetahuan keluarga dan saya juga hairan mengapa pihak penjara reman tidak memaklumkan perkara ini? Kenapa perkara ini dirahsiakan daripada pengetahuan kami?
"Saya dan isteri, A Shanti, 51, rasa sangat sedih bila tengok keadaan anak saya yang susah untuk bernafas dan nak bercakap pun susah malah dia juga hilang selera makan,” katanya kepada pemberita pada Jumaat.
Hadir sama, peguam yang mewakili keluarga tertuduh, M Dinesh dan aktivis, S Dayalan.
Untuk rekod, Jagdesshraj ditahan pada 2023 bagi satu kesalahan jenayah berat dan dilepaskan dengan jaminan polis selepas 14 hari ditahan reman sebelum ditahan semula di bawah Akta Dadah Berbahaya Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 dan direman selama 60 hari.
Dalam tempoh itu, Jagdesshraj dituduh di mahkamah bagi kesalahan jenayah berat itu yang mana dia tidak boleh dijamin dan sejak itu ditempatkan di Pusat Koreksional Johor Bahru.
Dalam pada itu, Pannir berkata, dia dan keluarga menuntut penjelasan daripada pihak penjara reman atau pihak hospital bagi menerangkan apa sebenarnya yang berlaku terhadap anak bongsunya itu dan masalah kesihatan yang dialami Jagdesshraj.
"Sejak dia dimasukkan ke hospital, tidak ada mana-mana pihak yang memberikan penjelasan yang sepatutnya kepada kami.
“Ada doktor kata terdapat darah beku dan nanah di leher mangsa, ada doktor lain pula kata dia akan dipasang alat bantuan pernafasan kerana ada jangkitan kuman...jadi semua ini buat kami terus buntu kerana tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku,” katanya.
Sementara itu, Dinesh berkata, pihak keluarga berhak tahu perkara sebenar yang berlaku kepada Jagdesshraj setelah hampir dua minggu dia ditahan di hospital dalam keadaan tangan bergari di katil dan dipantau tiga pegawai penjara.
“Sebagai seorang tahanan, Jagdeeshraj berhak mendapatkan perlindungan kesihatan, tempat dan pakaian yang selesa serta makan minum yang terjaga.
"Bagaimanapun, isunya di sini adalah kenapa keadaan yang terjadi kepada Jagdeeshraj ini tidak dimaklumkan kepada ahli keluarga dari awal lagi?" soalnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
