Polis tingkat risikan di konsert, pusat hiburan kekang kes dadah

SHAH ALAM - Polis Selangor pertingkat pemantauan dan risikan di konsert serta pusat hiburan di negeri itu bagi mengekang kegiatan penyalahgunaan dadah.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tindakan ini diambil dengan menempatkan keanggotaan polis bagi mengesan pengedar, penjual serta sebarang elemen dadah di konsert.
"Tindakan ini telah dilaksanakan polis termasuk tangkapan dan saringan (urin).
"Dalam kejadian baru-baru ini (Pinkfish) mengakibatkan pengunjung maut dan kes itu menerima perhatian ramai. Jadi polis sentiasa buat pemantauan dan gandakan pemantauan selain meminta penganjur konsert ambil tindakan tertentu dengan perketat kawalan pengunjung yang masuk serta memberi bekerjasama dengan kita," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Jumaat.
Hussein berkata, polis juga akan berjumpa untuk berbincang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta berkomunikasi dengan penganjur konsert dalam masa terdekat.
Mengulas mengenai tiga individu berusia 20 hingga 30-an yang ditahan susulan kematian empat pengunjung konsert Pinkfish, beliau berkata, dua daripadanya telah dituduh di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.
"Dua suspek ini telah diberi jamin mahkamah, manakala suspek ketiga tiada tuduhan terhadapnya.
"Kes ini masih dalam siasatan dan setakat ini tiada tangkapan baharu lagi," ujarnya.
Sebelum itu, difahamkan tiga lelaki suspek itu ditahan di sekitar Selangor pada 8 hingga 12 Januari lalu.
Dalam kejadian 31 Disember lalu, empat maut termasuk dua lelaki manakala tiga lagi mendapatkan rawatan selepas menghadiri konsert Pinkfish di Bandar Sunway.
Siasatan polis mendapati empat mangsa yang meninggal dunia itu terbabit dalam pengambilan dadah jenis ekstasi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
