Konsert Pinkfish: Polis tahan tiga lelaki jual ekstasi

PETALING JAYA - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan tiga lelaki dipercayai terlibat dalam kegiatan menjual dadah semasa konsert Pinkfish Countdown 2024 di Bandar Sunway, dekat sini pada ambang tahun baharu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun itu ditahan di sekitar Selangor antara 8 hingga 12 Januari lalu.
Beliau berkata, seorang daripada tiga suspek terbabit dipercayai berada di dalam konsert tersebut, manakala dua lagi tidak berada di kawasan konsert berkenaan.
"Hasil soal siasat ke atas mangsa yang terselamat semasa konsert itu mendapati ada antara mereka yang membeli pil ekstasi di dalam konsert terbabit.
"Selain itu, terdapat juga yang mendapatkan pil tersebut di luar konsert dan telah mengambil dadah sebelum konsert bermula," katanya dalam sidang akhbar pada Sabtu.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan kempen keselamatan jalan raya dan advokasi sempena perayaan Tahun Baharu Cina di Plaza Tol PJS 2, Lebuhraya New Pantai Expressway (NPE) pada Sabtu.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan.
Mengulas lanjut, Hussein berkata, pihak polis akan berusaha mengetatkan syarat-syarat penganjuran konsert selepas ini bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.
Ujarnya, antara kandungan syarat penganjuran konsert yang akan diberi perhatian adalah membabitkan jenis muzik dimainkan dan jumlah kehadiran penonton bergantung kepada lokasi penganjuran.
Tambahnya, pihak penganjur juga perlu memastikan kit bantuan kecemasan awal disediakan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini ke atas pengunjung.
"Selain itu, PDRM juga akan meletakkan pasukan narkotik untuk mengelak atau membanteras sebarang penyalahgunaan dadah termasuk penjualan dadah dalam penganjuran sesuatu konsert tersebut," ujarnya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan pihak polis menerima enam laporan dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) berhubung tujuh pengunjung konsert Pinkfish yang mendapat rawatan selepas mengalami simptom sama dipercayai mengambil dadah.
Empat daripada mereka meninggal dunia, manakala tiga individu selamat dan sudah keluar dari hospital.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!