PBT perlu kawal, tangkap anjing liar secara konsisten

Laporan Sinar Harian mengenai kes seorang wanita warga emas maut dipercayai akibat diserang kira-kira 11 ekor anjing liar di kawasan Terminal Bas Kunak, Sabah pada Sabtu lalu. Gambar kecil: Muhammad Akram
Laporan Sinar Harian mengenai kes seorang wanita warga emas maut dipercayai akibat diserang kira-kira 11 ekor anjing liar di kawasan Terminal Bas Kunak, Sabah pada Sabtu lalu. Gambar kecil: Muhammad Akram
A
A
A

SHAH ALAM - Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu melakukan kawalan atau tangkapan anjing liar secara konsisten kerana haiwan itu tidak akan berkumpul hanya di satu-satu tempat sahaja bagi mengelakkan insiden kematian tragis akibat serangan binatang tersebut di Sabah daripada berulang.

Peguam, Muhammad Akram Abdul Aziz berkata, tanggungjawab PBT untuk menangani masalah ancaman haiwan liar termaktub dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) selain setiap negeri mempunyai prosedur operasi standard (SOP) mengenai perkara berkenaan.

Katanya, secara lazimnya, semua PBT seperti majlis perbandaran mempunyai unit khas untuk membuat kawalan atau tangkapan haiwan-haiwan liar yang mengancam keselamatan penduduk setempat.

“Ada pihak-pihak berkuasa sebegini yang membuat operasi tangkapan secara konsisten atau berkala dan ada juga yang membuat tangkapan secara ‘ad-hoc’ yakni berasaskan kepada laporan daripada pengadu.

“Maka saya percaya jika aktiviti kawalan atau tangkapan sebegini dibuat, risiko untuk haiwan liar seperti anjing untuk berkumpul dalam jumlah yang banyak akan dapat diminimumkan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kes seorang wanita warga emas maut dipercayai akibat diserang kira-kira 11 ekor anjing liar di kawasan Terminal Bas Kunak, Sabah pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kunak, Superintenden Sabarudin Rahmat berkata, kejadian berlaku pada jam 1.49 pagi itu turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan mangsa berusia sekitar 60-an dikerumun dan diserang oleh sekumpulan anjing tersebut.

Mengulas lanjut, Muhammad Akram berkata, apabila berlakunya kes sebegitu timbul persoalan mengapa ia terjadi dan perlu diperiksa sama ada sudah terdapat laporan dibuat oleh mana-mana pihak mengenai kewujudan kumpulan anjing liar terbabit.

“Angka 11 ekor anjing bukanlah jumlah yang sedikit, sedangkan kita berdepan seekor atau dua ekor anjing liar pun mungkin sudah timbul rasa takut, inikan pula apabila dikepung sebanyak 11 ekor.

Artikel Berkaitan:

“Katakanlah jika ada laporan terdahulu dibuat, soalan kedua yang perlu diutarakan adalah sama ada sudah ada sebarang tindakan kawalan atau tangkapan telah dilakukan pihak yang berkenaan atau sebaliknya,” ujarnya.

Beliau menegaskan, tugas kawalan atau tangkapan secara konsisten perlu dilakukan kerana haiwan seperti anjing bergerak ke sana ke mari, berpindah dari satu lokasi ke lokasi yang lain dan tidak akan berkumpul hanya di satu tempat.

“Jadi misalnya operasi tangkapan dibuat sehari sahaja dan kemudiannya jika pihak berkuasa tidak menemui haiwan-haiwan ini di lokasi yang dilaporkan, usahlah ditamatkan pula operasi tersebut kerana amat jelas isu masih belum selesai. Janganlah melepaskan batuk di tangga kerana dikhuatiri berlaku kes sebegini lagi,” ujarnya.

Tegasnya, jika tidak timbul isu serangan sehingga maut itu pun, tidak bermaksud tiada risiko lain kepada penduduk apatah lagi gigitan anjing liar itu sendiri juga berpotensi mengakibatkan jangkitan rabies yang jika tidak dirawat boleh mengakibatkan kematian.

“Andai terbukti tiada tindakan kawalan atau tangkapan dibuat oleh PBT, penduduk atau mangsa berisiko untuk mengambil tindakan undang-undang dan menuntut ganti rugi ke atas PBT atas dakwaan kecuaian,” kata beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!