Covid-19: 75 rakyat Malaysia akan dibawa pulang

Dr Wan Azizah Wan Ismail - Foto Rosli Talib
Dr Wan Azizah Wan Ismail - Foto Rosli Talib
A
A
A

PUTRAJAYA - Seramai 75 rakyat Malaysia di Wuhan dikenal pasti dan sudah bersedia untuk dibawa pulang dalam Misi Bantuan Kemanusiaan dan Peredaan Bencana (HADR), Selasa ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, misi tersebut sedang diuruskan Kementerian Luar Negeri (KLN) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) membabitkan pesawat Air Asia.

"Kerajaan menjangkakan akan berdepan dengan masalah logistik bagi mereka yang tinggal jauh dari Lapangan Terbang Tianhe, Wuhan.

"Sekiranya mereka tiada pengangkutan, memang akan timbul kekangan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Tertinggi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat Berhubung Covid-19 di sini hari ini.

Menurutnya, kesemua penumpang dan anak kapal yang terlibat dalam misi berkenaan akan melalui saringan sama seperti misi kali pertama.

"Mereka akan mengikut prosedur yang sama dan ditempatkan di Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) untuk dikuarantinkan sebelum dibenar pulang

Dr Wan Azizah berkata, kerajaan belum memutuskan sama ada akan melakukan Misi HADR ke-3.

"Misi ketiga belum ditentukan. Ini kemungkinan misi terakhir," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam Misi HADR pada 4 Februari lalu, seramai 107 rakyat Malaysia dan ahli keluarga dibawa pulang.

Mereka dan 12 krew penerbangan,lapan petugas misi dan enam pegawai kedutaan dikuarantin di AKEPT 14 hari sebelum dibenarkan pulang Selasa lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pesawat bawa rakyat Malaysia dari Wuhan tiba di KLIA