Kerajaan Perak tunggu laporan penuh guru pukul murid

PARIT - Kerajaan Perak sedang menunggu laporan penuh siasatan berhubung kejadian murid yang mengalami kecederaan pada telinga dalam (koklea) didakwa akibat ditampar dan ditumbuk guru, Disember lalu.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah berkata, laporan berkenaan sedang dilengkapkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
"Kerajaan negeri menzahirkan rasa simpati dengan apa yang berlaku kerana ia melibatkan kewibawaan murid yang berbakat besar terutama dalam acara renang.
"Kita bercadang akan melakukan kunjungan ziarah cakna kepada mangsa dan mengikuti secara dekat keadaan murid berkenaan," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Eko Pelancongan Sejati Madani ATV Ride di Kampung Bukit Chupak di sini pada Rabu.
Menurut Khairudin, pihaknya percaya tindakan sewajarnya akan diambil berlandaskan undang-undang, peraturan dan pekeliling Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Beliau yang juga bekas guru turut menasihatkan para pendidik agar sentiasa membuat pertimbangan rasional dalam proses mendidik dan membimbing anak murid.
"Janganlah hilang pertimbangan atas faktor kemarahan atau emosi terganggu. Bertindaklah secara rasional kerana anak-anak di sekolah ini merupakan aset kepada negara.
"Saya mengharapkan pendidik memahami tugas dan peranan mereka dan bukannya mencederakan anak-anak walaupun apa pun puncanya," katanya.
Pada 23 Januari lalu, Sinar Harian melaporkan seorang wanita mendakwa anak lelakinya yang berusia 12 tahun cedera akibat ditampar dan ditumbuk guru sendiri sehingga mengalami gegaran koklea.
Akibat kejadian itu, mangsa terpaksa melupakan rutinnya berikutan kecederaan dialaminya itu mengakibatkan dia sering mengalami sakit kepala, telinga berdengung dan hilang keseimbangan badan.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Juna Yusoff dalam kenyataannya mengesahkan menerima laporan polis mengenai insiden itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

