Polis buka kertas siasatan murid dipukul guru

BAGAN SERAI - Polis telah membuka kertas siasatan berhubung kejadian seorang murid lelaki tahun lima mengalami kecederaan akibat dipukul guru lelaki dalam satu kejadian di sebuah sekolah rendah di sini, bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Juna Yusoff berkata, laporan kejadian itu telah diterima daripada seorang ibu mangsa yang berusia 40 tahun pada 10 Disember 2024.
"Pengadu mendakwa anaknya telah mendapat kecederaan akibat dipukul oleh guru lelaki berusia 30 tahun namun dia menarik semula laporan pada 11 Disember 2024 kerana enggan memanjangkan kes tersebut.
"Baru-baru ini pengadu sekali tampil membuat satu laporan memohon polis meneruskan siasatan dan mahu tindakan lanjut diambil ke atas guru tersebut," katanya.
Menurut beliau, siasat telah dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan telah dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan arahan selanjutnya.
"Dalam kes ini, Perintah Untuk Menyiasat (OTI) sudah diperoleh dan malam ini akan dibuat rakaman percakapan.
"Setakat ini tiada tangkapan telah dibuat," katanya.
Sinar Harian melaporkan seorang wanita mendakwa anak lelakinya yang berusia 12 tahun cedera akibat ditampar dan ditumbuk guru sendiri sehingga mengalami gegaran koklea.
Malah, impian anak bongsu daripada dua beradik itu menjadi pelapis perenang negara musnah berikutan peluang untuk sembuh hanya 50 peratus selain terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi di pentas antarabangsa di Bangkok, Thailand Julai ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!