Tidak patut ada simpati terhadap jenayah dilakukan Najib - C4 Center

C4 Center membantah keputusan untuk meringankan hukuman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai tahanan rumah.
C4 Center membantah keputusan untuk meringankan hukuman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai tahanan rumah.
A
A
A

SHAH ALAM - Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) membantah keputusan untuk meringankan hukuman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai tahanan rumah.

C4 Center dalam satu kenyataan berkata, tidak sepatutnya ada rasa simpati terhadap jenayah besar yang dilakukan oleh Najib membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Ketika dalam proses perbicaraan mengenai kemungkinan Najib akan diberikan tahanan rumah untuk baki hukuman beliau, C4 Center menyatakan kutukan yang tegas terhadap tindakan meringankan hukuman ini sebagai tidak wajar.

"Kerajaan Madani lemah terhadap tokoh politik yang terlibat skandal. Mengapa kerajaan Madani begitu bersimpati dengan Najib? Adakah mereka lupa skala jenayah yang dilakukannya?," katanya pada Rabu.

Pada 6 Januari, Najib berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dengan majoriti 2-1, membenarkan rayuan Najib, 72 untuk mendapatkan kebenaran itu.

Mengulas lanjut, C4 Center memaklumkan, menerusi temu bual bersama Financial Times, Anwar turut mempertahankan pengurangan hukuman penjara bagi Najib, menyatakan bahawa beliau sendiri pernah melalui 'neraka' waktu penjara dan pengasingan sel.

Ujarnya, tindakan tersebut menunjukkan seolah-olah Anwar tidak mahu perkara yang sama terjadi kepada Najib.

"Tidak sepatutnya ada simpati terhadap jenayah sebesar yang dilakukan oleh Najib, apatah lagi daripada Perdana Menteri Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Apa yang membimbangkan, selain Najib Razak, pentadbiran Anwar Ibrahim nampaknya juga menunjukkan simpati terhadap individu-individu lain yang terlibat dalam kes rasuah," katanya.

Tambah kenyataan itu, kelemahan institusi besar masih belum ditangani, terutama sekali kekurangan kebebasan Pejabat Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia daripada pengaruh Eksekutif.

Menurutnya, kekurangan pembaharuan berkenaan jelas menunjukkan bahawa kes rasuah yang melibatkan ahli politik ditangani dengan tidak cermat dan jauh daripada kebenaran.

Dalam pada itu, C4 Center turut mendakwa, sebilangan rakyat kini berasa tidak puas hati, marah dan menuntut perubahan seperti himpunan yang diadakan pada 25 Januari lalu.

"Ratusan rakyat Malaysia hadir ke perhimpunan yang dianjurkan Sekretariat Rakyat Benci Rasuah menuntut perubahan nyata daripada kerajaan Madani dan dipimpin oleh pelajar termasuk satu lagi perhimpunan anti-rasuah di Sabah.

"Sekretariat itu mengemukakan tiga tuntutan iaitu memisahkan Pejabat Peguam Negara daripada Pejabat Perdana Menteri; membebaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada campur tangan politik dan memperkenalkan Akta Pembiayaan Politik," jelasnya.

Tambah kenyataan itu, apabila Najib ditangkap, didakwa dan dijatuhi hukuman buat kali pertama sebilangan rakyat Malaysia bergembira.

Ujarnya, peristiwa sedemikian menandakan langkah lebih dekat ke arah pembaharuan struktur politik yang dibina atas rasuah dan politik wang yang melemahkan negara selama beberapa dekad.

"Pemberian tahanan rumah kepada Najib boleh menjadi pukulan terakhir terhadap harapan untuk tadbir urus yang baik, ketelusan dan kepercayaan terhadap sistem untuk berjuta-juta rakyat Malaysia.

"Walaupun benar bahawa Anwar mungkin tidak mengawal sepenuhnya senario ini, sikap simpati beliau terhadap penderitaan Najib merosakkan janji anti-rasuah beliau.

"Negara memerlukan kepimpinan yang lebih tegas dalam memerangi rasuah dan ahli politik yang telah merosakkan negara ini.

"Kami sudah muak dengan kata-kata kosong dan janji-janji berkaitan tiada tahanan rumah untuk Najib," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!