Ketua Negara yang teguh pendirian

SHAH ALAM - Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memainkan peranan yang amat penting sebagai Ketua Negara dalam memastikan kestabilan politik dan ekonomi di negara ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, rakyat dapat menyaksikan pertumbuhan ekonomi memberangsangkan, didorong oleh aktiviti pelaburan yang kukuh terutamanya dari negara asing sepanjang setahun pemerintahan Seri Paduka Baginda.
Menurutnya, ini membuktikan kebolehan Sultan Ibrahim dalam menjamin kestabilan negara serta meningkatkan keyakinan pelabur asing.
“Tuanku berjaya meningkatkan imej negara termasuk melakukan perbincangan dua hala dengan Presiden Republik China, Xi Jin Ping dan Premier, Li Qiang bagi menggalakkan syarikat gergasi di sana untuk melabur besar-besaran di Malaysia.

"Selain itu, membina kerjasama strategik dalam bidang semikonduktor, ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI), industri pembuatan berteknologi tinggi serta tenaga boleh baharu.
“Bukan itu sahaja, Seri Paduka Baginda juga mencadangkan pembangunan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura melalui model inisiatif pembiayaan swasta (PFI) dalam pertemuan tersebut dan usahanya menerima sambutan positif daripada Jin Ping.
“Sultan Ibrahim turut mengadakan lawatan rasmi ke Singapura dan menerima menghadap kunjungan hormat bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong bersama penyandangnya, Lawrence Wong.
Ini petunjuk signifikan dalam mengeratkan hubungan kerjasama Malaysia-Singapura dengan adanya Perjanjian Bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura yang dijangka membawa manfaat,” katanya.
Ujarnya, hubungan antara kerajaan dan institusi diraja boleh diperkukuhkan apabila kedua-duanya dapat mengadakan perbincangan konstruktif demi mencapai matlamat bersama khususnya berkaitan pembangunan ekonomi negara.
Pentingkan semangat perpaduan
Tambahnya, dengan sokongan daripada institusi diraja, dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan memberi impak positif kepada kemajuan negara.
Kor Ming berpendapat, Sultan Ibrahim seorang pemimpin yang berpegang teguh pada pendirian misalnya Seri Paduka Baginda sentiasa menekankan kepentingan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
Jelasnya, Tuanku juga sentiasa menegaskan pentingnya untuk masyarakat membela keharmonian di negara ini.
“Sebagai ahli Jemaah Menteri, saya menurut titah Tuanku untuk mengamalkan pelbagai perayaan di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Ia kerana saya percaya kepelbagaian budaya mesti diraikan agar keharmonian negara dapat dipertahankan.
“Walaupun saya sering diserang pihak tertentu, saya tetap teguh kepada prinsip mendukung kepelbagaian budaya sebagai asas kekuatan negara demi memastikan semangat muhibah diterapkan di KPKT bawah pimpinan saya,” ujarnya.
Kor Ming yang juga ahli Parlimen Teluk Intan memaklumkan, Seri Paduka Baginda sentiasa bertitah bahawa pemimpin daripada semua parti perlu menjadi penghubung antara masyarakat majmuk di negara ini dengan menunjukkan teladan atau perilaku yang matang.
Katanya, Seri Paduka Baginda sering menasihatkan semua pihak untuk memberi tumpuan kepada usaha memupuk perpaduan rakyat, bukannya perpecahan.
“Titah Yang di-Pertuan Agong sangat penting kerana ia asas pentadbiran Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.
“Sultan Ibrahim juga benci rasuah dan menitahkan semua pemimpin termasuk penjawat awam wajib menjulang prinsip integriti serta tatakelola yang baik. Secara peribadi, saya sifatkan Tuanku seorang yang berjiwa rakyat dan berhati mulia.
“Seri Paduka Baginda sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat dan bermurah hati memberikan sumbangan buat keluarga kurang bernasib baik. Tuanku juga amat berdisiplin dan sentiasa menepati masa.
“Kita amat bertuah kerana mempunyai Raja yang tegas, murah hati dan sentiasa mengutamakan kepentingan negara,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

