Sultan Ibrahim berjiwa rakyat

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke sambutan Hari Kebangsaan 2024 di Dataran Putrajaya.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke sambutan Hari Kebangsaan 2024 di Dataran Putrajaya.
A
A
A

TARIKH hari ini begitu istimewa buat seluruh rakyat Malaysia dan Johor khususnya kerana genap setahun Sultan Ibrahim menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Diputerakan pada 22 November 1958 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru Seri Paduka Baginda dikenali sebagai kerabat diraja yang menitikberatkan hubungan kekeluargaan dengan kerap melakukan aktiviti bersama anakanda dan cucunda.

Di sebalik kesibukan menggalas tugas besar sebagai Ketua Tertinggi Negara, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah yang dikurniakan lima putera dan seorang puteri menjadi contoh kepada rakyat untuk sentiasa menjaga hubungan kekeluargaan.

Seri Paduka Baginda berdua juga sering dilihat menjadikan waktu terluang atau sambutan hari istimewa ahli keluarga sama ada anakanda dan cucunda sebagai medan memperkukuh hubungan kekeluargaan.

Selain menikmati hidangan bersama-sama, keluarga diraja itu juga turut berkongsi pelbagai aktiviti santai antaranya memasak hidangan istimewa dan beriadah dan yang mencerminkan hubungan erat serta utuh terbina.

Berkongsi hobi yang sama dengan adinda Seri Paduka Baginda, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Sultan Ibrahim turut dikenali sebagai pemimpin yang meminati seni kulinari.

Kongsi kemahiran memasak

Yang di-Pertuan Agong juga sering berkongsi kemahiran memasak pelbagai menu antaranya kari daging jepun, gulai nanas, kari kepala ikan dan nasi goreng istimewa yang kemudiannya turut menikmati hidangan tersebut bersama kakitangan Seri Paduka Baginda.

Artikel Berkaitan:

Berkongsi hobi yang sama dengan adinda Seri Paduka Baginda,Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Sultan Ibrahim turut dikenali sebagai pemimpin yang meminati seni kulinari.
Berkongsi hobi yang sama dengan adinda Seri Paduka Baginda,Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Sultan Ibrahim turut dikenali sebagai pemimpin yang meminati seni kulinari.

Sinonim dengan keistimewaan program Kembara Mahkota Johor (KMJ) yang diilhamkan sendiri Seri Paduka Baginda sejak 2001 ketika masih bergelar Tunku Mahkota Johor, Sultan Ibrahim cukup dikenali sebagai sultan berjiwa rakyat.

Sifat Seri Paduka Baginda suka mendekati masyarakat itu sentiasa terserlah dan baru-baru ini, Sultan Ibrahim berkenan singgah di Kafe Kopi Tenggek Tanjung Piai, Johor milik Ghazali Ayub, 53, selain turut bayar makanan serta minuman pelanggan.

Sultan Ibrahim digambarkan sebagai pemimpin berjiwa rakyat turut berkenan bergambar dengan pelanggan yang berada di kafe itu selain tidak kekok melayani mereka yang teruja berjumpa Seri Paduka Baginda.

Aktiviti kebajikan

Tidak sesekali melupakan golongan yang memerlukan, Sultan Ibrahim sering terlibat dalam aktiviti kebajikan melalui Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) bagi memastikan rakyat dalam kesusahan sentiasa dibantu sama ada yang ditimpa bencana atau berdepan kesempitan hidup termasuk pelajar.

Keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap rakyat jelas menunjukkan betapa Sultan Ibrahim mengambil berat kesejahteraan tanpa mengira latar belakang.

Yang di-Pertuan Agong turut dikenali sebagai peminat motosikal berkuasa tinggi terutama Harley Davidson dan sering mengetuai konvoi menerusi penganjuran KMJ.
Yang di-Pertuan Agong turut dikenali sebagai peminat motosikal berkuasa tinggi terutama Harley Davidson dan sering mengetuai konvoi menerusi penganjuran KMJ.

Yang di-Pertuan Agong dalam masa sama turut dikenali sebagai peminat motosikal berkuasa tinggi terutama Harley Davidson dan sering mengetuai konvoi menerusi penganjuran KMJ.

Sultan Ibrahim kira-kira tujuh tahun lalu turut berkenan mempamerkan koleksi motosikal berkuasa tinggi Harley-Davidson milik Seri Paduka Baginda pada Minggu Permotoran Malaysia 2018 (MBW 2018) yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor.

Menyentuh mengenai kepimpinan, Seri Paduka Baginda dikenali sebagai raja berjiwa rakyat, namun berpendirian tegas dan berani itu menjadi pemangkin utama kukuhnya semangat perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini.

Seiring dengan fungsi institusi diraja yang bukan sahaja melindungi agama, tetapi juga menjadi lambang perpaduan dan kesejahteraan semua kaum, Yang di-Pertuan Agong berada pada kedudukan paling tinggi dalam Perlembagaan negara, Sultan Ibrahim ketika sambutan ulang tahun Keputeraan Rasmi Sultan Johor pada 23 Mac tahun lalu bertitah, perpaduan rakyat berbilang kaum adalah hadiah yang paling bermakna buat Seri Paduka Baginda.

Yang di-Pertuan Agong bertitah, keharmonian dan semangat bersatu-padu dalam kalangan rakyat tanpa mengira agama atau bangsa seperti konsep Bangsa Johor yang kekal diamalkan sejak sekian lama di Johor dalam menyatupadukan rakyat pelbagai kaum amat penting untuk kestabilan negara.

Aktiviti ketenteraan

Mengikuti jejak langkah kesultanan sebelumnya, Sultan Ibrahim turut terlibat dalam aktiviti ketenteraan, pengurusan dan pentadbiran yang dijadikan asas untuk membina semangat juang, disiplin, kepimpinan dan perwatakan.

Kepimpinan Seri Paduka Baginda terserlah apabila tamat persekolahan Sultan Ibrahim dilantik sebagai platun komander ketika menjalani latihan ketenteraan di Pusat Latihan Tentera Darat di Kota Tinggi.

Kemudiannya di atas jemputan khas, Yang di-Pertuan Agong mengambil bahagian dalam latihan ketenteraan untuk pegawai muda di Fort Benning, Georgia, Amerika Syarikat (AS), di samping turut ditauliahkan sebagai anggota pasukan SEAL (tentera laut, udara dan darat).

Selain itu, Seri Paduka Baginda melakukan beberapa penerjunan di Bandung, Indonesia sebelum ditauliahkan sebagai ahli kehormat Komando Pasukan Khusus (KOPASSUS) Indonesia.

Sultan Ibrahim pada masa sama turut menjalani latihan juruterbang helikopter dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), di samping turut menyertai latihan tentera laut di Pengkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selama tiga bulan, sekali gus melengkapkan Seri Paduka Baginda sebagai pegawai tentera darat, laut dan udara.

Selari dengan Raja Sebagai Payung Negara, sudah pasti harapan rakyat untuk melihat Malaysia terus bergerak ke hadapan dalam mendepani pelbagai cabaran serta menjadi simbol penyatuan rakyat berbilang kaum dan agama.

Setahun kepimpinan sudah berlalu, harapan besar rakyat terhadap Sultan Ibrahim untuk terus memayungi rakyat Malaysia bagi tempoh empat tahun mendatang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!