'Kami mungkin kehabisan komputer' - Malaysiakini

(Kanan) Tangkap layar portal berita Malaysiakini mengenai operasi ‘pemeliharaan data' oleh polis dan SKMM. (Kiri) KJ ketika podcast Keluar Sekejap pada Jumaat.
(Kanan) Tangkap layar portal berita Malaysiakini mengenai operasi ‘pemeliharaan data' oleh polis dan SKMM. (Kiri) KJ ketika podcast Keluar Sekejap pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengurusan Malaysiakini menyuarakan kekhuatiran bahawa pihaknya mungkin kehabisan komputer sekiranya pihak berkuasa berterusan merampas alat elektronik itu setiap kali siasatan dibuat ke atas mereka.

Memetik laporan Malaysiakini pada Selasa, Editor Eksekutifnya, RK Anand mendakwa, beliau terkejut apabila polis merampas komputer riba daripada mereka yang kononnya dianggap sebagai saksi dalam kes siasatan ke atas bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Dakwanya, jika kaedah siasatan sama diguna pakai pada masa depan, maka ia bermaksud setiap kali laporan polis dibuat berdasarkan komen dalam artikel berita, komputer wartawan akan dirampas.

"Jika begini keadaannya dan memandangkan kekerapan laporan polis dibuat berdasarkan artikel Malaysiakini yang secara automatik menjadikan kami saksi, kami mungkin kehabisan komputer," katanya.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dilaporkan menjalankan operasi ‘pemeliharaan data’ berkaitan artikel portal berkenaan mengenai siasatan ke atas Khairy.

Operasi tersebut dilakukan pada pagi Selasa di ibu pejabat SKMM di Putrajaya dengan kehadiran Anand.

Pada Isnin, Malaysiakini enggan memberikan nama pengguna dan kata laluan yang diperlukan polis untuk mengakses sistem pengurusan kandungan (backend-CMS) portal itu.

Namun portal tersebut dimaklumkan kegagalan mematuhi arahan itu akan dianggap sebagai satu kesalahan.

Selepas rundingan, pengambilan data dipersetujui dibuat di pejabat SKMM dengan kehadiran wakil Malaysiakini bagi memastikan tiada kompromi keselamatan berlaku.

Artikel Berkaitan:

Polis turut merampas sebuah komputer riba daripada Malaysiakini pada hari sama bagi membantu siasatan terhadap dakwaan Khairy mengenai isu Titah Adendum yang membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah.

Anand turut melahirkan rasa pelik dengan tindakan SKMM dan polis merampas komputer milik wartawan berkenaan kerana semua artikel diterbitkan Malaysiakini boleh diakses dan dibaca oleh sesiapa sahaja.

"Artikel itu tersedia di laman web kami untuk dibaca sesiapa sahaja. Kami tidak menafikan menerbitkannya.

"Dalam siasatan terdahulu, apabila laporan dibuat berdasarkan komen dalam artikel Malaysiakini, polis tidak pernah merampas komputer riba atau membuat permintaan lain selain mengambil kenyataan ringkas," tambah Anand.

Difahamkan polis sedang menyiasat Khairy di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk hantaran jelik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!