Seorang maut, empat cedera ceroboh landasan KTMB

Seorang maut, manakala empat lagi cedera ringan selepas menceroboh landasan KTMB di laluan antara Teluk Pulai dan Klang pada pagi Selasa. Foto hiasan
Seorang maut, manakala empat lagi cedera ringan selepas menceroboh landasan KTMB di laluan antara Teluk Pulai dan Klang pada pagi Selasa. Foto hiasan
A
A
A

KUALA SELANGOR - Seorang maut, manakala empat lagi cedera ringan selepas menceroboh landasan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di laluan antara Teluk Pulai dan Klang pada pagi Selasa.

KTMB dalam kenyataannya memaklumkan, tren Komuter No 2110 yang berlepas dari Stesen Jalan Kastam pada jam 6.39 pagi membawa 200 penumpang terpaksa berhenti selepas melanggar penceroboh itu di Kilometer 34.734 antara Teluk Pulai dan Klang.

Kenyataan media KTMB pada Selasa.
Kenyataan media KTMB pada Selasa.

Menurut kenyataan itu, mangsa yang cedera dibawa ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan lanjut dan siasatan lanjut akan dijalankan oleh pihak berkuasa.

"Lokomotif bantuan telah dihantar untuk membawa tren komuter yang terjejas bagi membolehkan kerja-kerja pengalihan mayat dilakukan agar perkhidmatan tren kembali beroperasi seperti biasa.

"Penumpang dibawa ke Stesen Klang diiringi anggota Polis Bantuan dan kakitangan KTMB yang bertugas untuk menaiki bas perantara yang disediakan di stesen untuk ke Stesen Subang Jaya bagi meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing," menurut kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu, kejadian juga menyebabkan tren itu mengalami kerosakan dan mengalami kelewatan melebihi 60 minit.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd Zain Mat Taha berkata, landasan kereta api adalah kawasan larangan dan individu yang menceroboh landasan kereta api boleh dikenakan denda sebanyak RM500 di bawah Seksyen 126, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Untuk sebarang bantuan lanjut, penumpang boleh berhubung dengan kakitangan stesen yang bertugas.

Artikel Berkaitan:

Perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi platform media sosial rasmi KTMB atau hubungi Pusat Panggilan di talian 03-9779 1200.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!